Khamis, 6 Februari 2014

Rompak Mesin ATM Ala Aksi Hollywood

Azham (kiri) memeriksa bahagian peti yang dipecahkan. Foto: myMetro

Mesin ATM berjaya ditarik keluar dengan pantas. Foto: myMetro


KOTA BHARU - Ikat, rentap dan pecah. Itu aksi ala adegan rompakan filem Hollywood dilakukan sekumpulan tiga penjenayah melarikan wang RM84,000 dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dalam 5 minit di premis menempatkan mesin ATM di depan Politeknik Kota Bharu, di sini, semalam. 
Dalam kejadian jam 5.15 pagi itu, penjenayah terbabit mengikat mesin ATM menggunakan tali sebelum merentapnya menggunakan kenderaan sistem pacuan empat roda menyebabkan pintu kaca di premis terbabit pecah. 
Mesin ATM itu direntap sehingga 10 meter dari premis sebelum penjenayah menggunakan besi pengumpil memecahkannya dan melarikan wang. 
Bagaimanapun, satu lagi premis menempatkan mesin ATM bank lain terletak bersebelahan tidak diusik. 
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Azham Othman berkata, berdasarkan siasatan awal, seorang daripada tiga lelaki dipercayai menunggu di dalam kenderaan, seorang di luar premis dan seorang lagi masuk ke dalam premis untuk mengikat mesin ATM. 
Katanya, penjenayah dikatakan menggunakan kenderaan sama ada Honda CRV atau Suzuki yang menggunakan sistem pacuan empat roda. 
“Kamera litar tertutup (CCTV) di premis disembur cat. Berdasarkan temu bual dengan saksi ada yang mengatakan melihat Honda CRV digunakan penjenayah untuk menarik mesin ATM itu dan ada pula mengatakan melihat kenderaanSuzuki yang menggunakan sistem pacuan empat roda. 
“Sebaik mesin ATM ditarik keluar, mereka memecahkannya dipercayai menggunakan besi pengumpil dan melarikan wang RM84,000,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. 
Menurut Azham, penjenayah itu dipercayai profesional kerana melakukan jenayah dalam tempoh singkat. 
Katanya, ketika kejadian, ada saksi yang melihat, tetapi mereka berada agak jauh iaitu 30 meter dan tidak berani bertindak kerana bimbang penjenayah terbabit dipercayai membawa senjata api bersama mereka. 
“Ada saksi mendakwa kumpulan penjenayah itu membawa senjata api ‘pump gun’ tetapi sukar dipastikan kerana jarak penglihatan jauh di awal pagi. 
“Bagaimanapun, semua maklumat diberikan saksi akan disiasat. 
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379/427, Kanun Keseksaan dan ia kes keempat babit kejadian hampir sama tahun ini,” katanya. 
Dalam perkembangan sama, Azham berkata, syarikat bertanggungjawab menyediakan mesin ATM di mana-mana kawasan diminta meronda lebih kerap di persekitaran mesin diletakkan bagi mengelak disamun penjenayah. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.