Khamis, 27 Februari 2014

YouTube Didesak Buang Klip Video Terbaru Katy Perry

Seorang lelaki Islam di England mendesak YouTube membuang klip video terbaru Katy Perry berjudul ‘Dark Horse’

Dalam klip video itu, Perry ‘menghancurkan’ seorang lelaki yang memakai kalung dengan kalimah Allah

Dalam klip video itu, Perry menjadi ratu Mesir purba yang ingin memilih pasangan

Ratu akan menyumpah setiap lelaki yang membawa hadiah yang tidak disukainya menjadi pasir


BRADFORD - Seorang lelaki Islam di England mendesak YouTube membuang klip video terbaru Katy Perry yang memaparkan penyanyi itu ‘menghancurkan’ seorang lelaki memakai kalung dengan kalimah Allah. 
Dalam klip video berjudul ‘Dark Horse’, Perry menjadi ratu Mesir purba yang ingin memilih pasangan. 
Setiap lelaki yang menjadi calon pasangannya membawa hadiah yang tidak disukai ratu lalu mereka disumpah menjadi pasir. 
Kontroversi tercetus apabila Shazad Iqbal mendakwa calon pertama di dalam video klip berkenaan memakai kalung kalimah Allah. 
Dia melancarkan petisyen mendesak YouTube menghalang penyiaran video klip berkenaan atas alasan ia ‘menghina Islam.’ 
Petisyen online itu berjaya mengumpul 40,000 tandatangan dari seluruh dunia termasuk Australia, Arab Saudi, Pakistan and Bangladesh. 
Shazad berkata: “Video klip berkenaan mencetuskan kontroversi kerana ia menghina Islam, melalui paparan yang menunjukkan dia menghancurkan lelaki itu. 
“Penghinaan jelas dilihat dalam video itu kerana Katy Perry yang kelihatan seolah-olah mewakili penentang Tuhan membakar lelaki dalam video itu dan perkataan kalimah Allah.” 
Selepas menandatangani petisyen itu, Bilal Khan dari Birmingham berkata, “Saya rasa meluat dengan industri muzik kerana membenarkan perkara ini berlaku. Muzik sepatutnya menyebarkan kasih sayang dan bukan kebencian.” 
“Video ini benar-benar menghina agama Islam,” kata Taufik Hidayat dari Bandung, Indonesia yang turut menyokong Shazad. 
Dark Horse ialah single ketiga Katy Perry dalam album terbarunya ‘Prism’ yang turut menampilkan penyanyi rap Amerika Juicy J. 
Lagu dengan genre pop yang diterapkan elemen hip hop itu berada di tangga pertama carta U.S. Billboard Hot 100 ketika ini.- Agensi/myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.