Selasa, 25 Mac 2014

529 Penyokong Morsi Dihukum Mati Di Mesir

Penyokong Morsi berhadapan polis pencegah rusuhan di Kaherah

Penyokong Morsi melakukan protes membantah penyingkirannya pada Julai tahun lalu

Golongan muda yang menyokong Morsi

Presiden Morsi sebelum digulingkan oleh tentera Mesir tahun lalu


KAHERAH - Sebuah mahkamah di selatan Mesir menjatuhkan hukuman mati ke atas 529 orang penyokong bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi kerana membunuh seorang anggota polis dan menyerang polis. 
Mahkamah di Minya itu membuat keputusan tersebut semalam selepas hanya dua sesi perbicaraan manakala para peguam tertuduh mendakwa mereka tidak berpeluang untuk mengemukakan hujah pembelaan. 
Mereka yang didapati bersalah itu merupakan sebahagian daripada 545 tertuduh yang dibicara atas tuduhan membunuh seorang anggota polis, percubaan membunuh dua anggota polis lain, menyerang sebuah balai polis dan beberapa tindakan ganas lain. 
Lebih 150 suspek dihadap ke mahkamah manakala yang lain dibicara tanpa kehadiran mereka. 
Seramai 16 lagi dibebaskan daripada semua tuduhan tersebut. 
Semua tertuduh ditangkap selepas beberapa demonstrasi ganas yang tercetus susulan operasi polis membanteras tunjuk perasaan pro-Morsi di Kaherah pada Ogos tahun lalu. 
Beratus-ratus orang terbunuh dalam keganasan tersebut. - AP/Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.