Selasa, 4 Mac 2014

Bath Salt Dadah Paling Bahaya Di Dunia

Dadah sintetik bath salt mampu mengubah manusia menjadi kanibal (pemakan orang) atau zombie

 Ronald Poppo, gelandangan di Miami yang kehilangan hampir suku wajahnya kerana 'dimakan' penagih dadah bath salt

Wajah Ronald Poppo sebelum dan selepas dimakan penagih dadah bath salt

Di Scotland, seorang remaja maut dipercayai selepas mengambil dadah bath salt yang dibelinya dengan harga RM50

Pihak berkuasa Amerika Syarikat menamakan dadah ini sebagai bath salt

Senior Asisten Komisioner Jamaludin Kudin berkata, bath salt menjadi topik seminar di Vienna, Austria, Mac tahun lalu


HAMPIR setiap minggu kita dikejutkan dengan pelbagai bentuk kekejaman jenis baharu. Cerita anak ugut emak, pukul emak, cederakan ayah malah ada yang sampai ke peringkat membunuh ibu yang melahirkan dan membesarkannya kerana pengaruh dadah. 
Namun pernahkah kita terfikir, kini sudah ada jenis dadah yang mampu mengubah manusia menjadi kanibal (pemakan orang) atau zombie. 
Itulah kesan dadah sintetik yang menggerunkan iaitu bath salt yang mencetuskan celaka kepada masyarakat di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. 
Dalam satu kejadian di Miami, Florida pada 29 Mei 2012, seorang lelaki gelandangan kehilangan hampir suku wajahnya kerana 'dimakan' penyerang berbogel yang berada bawah pengaruh bath salt. 
Polis akhirnya menembak mati penyerang itu yang tidak mengendahkan arahan supaya berhenti menggigit wajah mangsa sambil mendengus seperti haiwan liar. 
Di Scotland, seorang remaja maut dipercayai selepas mengambil bath salt yang dibelinya dengan harga RM50, manakala di Britain, seorang remaja perempuan melucutkan pakaian dan bertelanjang bulat di sebuah pasar raya akibat pengaruh dadah itu. 
Di negara kita, walaupun setakat ini tiada rekod menunjukkan kehadiran bath salt, namun pihak berkuasa sentiasa memantau memastikan dadah jenis paling berbahaya itu tidak terlepas. 
Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Pencegahan/ Kepolisian Am) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Jamaludin Kudin berkata, bath salt menjadi topik seminar di Vienna, Austria, Mac tahun lalu. 
“Masa itu, dadah ini belum ada nama lagi. Hujung tahun lalu, ketika saya menghadiri persidangan, barulah pihak berkuasa AS memanggilnya dengan nama bath salt. 
“Saya kurang pasti kenapa ia diberi nama bath salt. Mungkin rupanya seakan bahan itu,” katanya. 
Dadah masa depan 
Walaupun dadah jenis ini masih belum dikesan di Malaysia, Jamaludin berkata, polis sentiasa menjalankan pemantauan rapi membendung kemasukan bahan bahaya itu. 
Beliau melabelkan bath salts sebagai dadah masa depan. 
Lebih merisaukan, katanya, bukan hanya negara, malah dunia juga bakal berdepan risiko dadah berbahaya itu memandangkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dadah berkenaan tidak ditemui setakat ini kerana formula mencipta bahan itu sentiasa bertukar. 
“Ketika saya menyertai persidangan berkaitan dadah di Bangkok, Thailand hujung tahun lalu, saya ada minta penjelasan seorang pakar dari AS mengenai bentuk dadah dan jenis bahan kimia digunakan. Namun, mereka sendiri tidak dapat kenal pasti,” katanya.
Menurutnya, ia akan menjadi masalah paling besar kerana bahan yang tidak dapat dikesan itu boleh masuk dalam pelbagai bentuk. 
“Kita boleh andaikan dadah ini sudah masuk ke negara ini jika ada laporan polis dibuat bahawa ada orang hilang pipi atau daging,” katanya. 
Berdasarkan pencarian maklumat di internet, difahamkan, dadah tersebut dinamakan sedemikian sempena garam yang digunakan dalam mandian yang merangsang otak ke tahap tertinggi dan meningkatkan suhu badan kepada 41.6 darjah Celsius. 
Keadaan itu menyebabkan halusisasi dan perlakuan ganas ekstrem sehingga penagih hilang pertimbangan dan sanggup membunuh. 
Seorang doktor berpengalaman lebih 30 tahun di unit kecemasan, Dr James Wright berkata, bath salts merupakan antara 10 jenis dadah paling berbahaya di dunia kerana pengambilan yang berlarutan beberapa jam menyebabkan seseorang itu menjadi gila, dengan 85 peratus dijangka pulih dalam tempoh 30 hari, manakala 15 peratus lagi kekal gila sampai mati. 
Kekangan undang-undang 
Trend sindiket pengedaran dadah yang mengubah struktur bahan menghasilkan dadah antara cabaran terpaksa dihadapi pihak penguat kuasa. 
Jamaludin berkata, pihaknya hanya boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang menyalahgunakan dadah sebagaimana terkandung dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB). 
“Sindiket ini sentiasa mengubah struktur bahan kimia menghasilkan bath salt. Mereka akan cuba ubah struktur supaya bahan digunakan tiada dalam jadual pertama. 
“Ia menimbulkan masalah pendakwaan kerana ia sebab tiada dalam jadual tersebut. Namun jika bahan kimia terlarang itu terkandung dalam Jadual 3, tindakan boleh diambil di bawah Akta Racun, tapi hukumannya denda berbanding ADB memperuntukkan hukuman berat,” katanya. 
Katanya, perkara itu boleh diatasi jika bahan-bahan tersebut didaftarkan di bawah jadual pertama, namun ia mengambil masa agak panjang. 
“Berdasarkan undang-undang, memasukkan dadah ini dalam jadual pertama, ia di bawah bidang kuasa Menteri Kesihatan, bukan polis atau Menteri Dalam Negeri. 
“Melainkan jika ia melibatkan pindaan undang-undang, barulah perkara ini dibawa ke Parlimen,” katanya. 
Jamaludin berkata, polis juga berdepan dengan masalah kemasukan bahan kimia ke negara ini kerana ia mempunyai kaitan dengan kepentingan ekonomi bagi industri lain. 
“Kebanyakan bahan kimia yang digunakan untuk membuat dadah sintetik itu ada keperluannya dalam industri lain seperti kosmetik contohnya asid hidroklorik. Sebab itu Bahagian Farmaseutikal ada kuasa undang-undang berkaitan aktiviti pemesongan. 
“Ketika bahan kimia diimport untuk kilang kosmetik contohnya, ada pemesongan sebahagian bahan tersebut dan sindiket ambil peluang ini. 
Kongsi maklumat dadah 
Sebagai persediaan menghadapi ancaman dadah baharu, Jamaludin berkata, pihaknya menghadiri semua persidangan dunia, seminar dan kursus berkaitan dadah dianjurkan oleh badan dunia, selain memenuhi jemputan mereka. 
“Kita merancang menghantar pegawai narkotik ke negara-negara tertentu bagi mengumpul maklumat perkembangan dadah. 
“Inilah program yang menjadi sumber kepada perkongsian maklumat kerana negara-negara tersebut akan membentangkan perkembangan dadah di negara masing-masing. Kita boleh tahu dadah baharu di negara mereka,” katanya. 
Jamaludin menegaskan, pengusaha spa dan pusat kecantikan tidak perlu bimbang walaupun dadah itu mempunyai nama sama dengan garam mandi yang digunakan di premis mereka. 
“Takkanlah bila mereka pakai garam mandi, kita nak terus serbu kedai itu. Kita tak akan ambil tindakan tanpa jalankan siasatan,” katanya. 
Tidak boleh tukar nama 
Walaupun nama bath salt hampir menyerupai istilah garam mandi yang digunakan di spa dan pusat kecantikan di negara ini, beliau berkata, nama itu bagaimanapun tidak boleh ditukar kerana, istilah itu sudah digunakan di seluruh dunia. 
“Nama ini bukan kita bagi, tapi AS. Kita ikut saja sebab kajian itu daripada negara maju. Jadi, bila dia bagi satu istilah, kita kena ikut sebab kalau kita buat nama lain, nanti orang tak tahu," katanya. 
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan diri daripada terlibat dengan parti dadah. - Nurulfatiha Muah/Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.