Jumaat, 21 Mac 2014

Gadis Terperosok Di Bawah Lori Selamat

Nurhidayatul sedang ditenangkan selepas terselamat daripada digilis lori. Foto: myMetro

Lori ini hampir menggilis Nurhidayatul. Foto: myMetro


KUALA LUMPUR - Berpantang maut sebelum ajal apabila seorang gadis terselamat walaupun terperosok di bahagian bawah lori sejurus terbabit kemalangan di simpang Jalan Kampung Bandar Dalam, Sentul, di sini semalam. 
Dalam kejadian jam 8.40 pagi itu, mangsa, Nurhidayatul Afiqah Muassyis, 24, dikatakan terjatuh selepas dirempuh lori itu dari belakang menyebabkan mangsa tercampak. 
Saksi kejadian, Shamsul Abas, 40-an, berkata, mangsa yang tidak sempat bangkit dari jatuh kemudian hampir digilis lori itu. 
Menurutnya, pemandu lori terbabit bagaimanapun masih sempat menekan brek sebelum tayar lori berhenti hanya beberapa sentimeter dari kepala mangsa. 
“Seorang penunggang motosikal yang melalui lokasi kejadian kemudian segera memberi bantuan menarik mangsa keluar dari bahagian bawah lori itu. 
“Gadis terbabit bagaimanapun hanya menangis teresak-esak akibat terkejut dengan kejadian itu. Saya cuba menenangkan gadis itu selain memintanya supaya menghubungi ahli keluarga,” katanya. 
Dia berkata, mangsa bagaimanapun terus menangis dan memberitahu gagal mengingati apa-apa. 
“Orang ramai mengerumuni lokasi kejadian menyebabkan mangsa yang juga penuntut sebuah institut pengajian tinggi itu kian panik. 
“Saya kemudian menghantar mangsa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan berikutan mangsa mengalami kecederaan kecil pada bahagian kaki kiri,” katanya. 
Menurutnya, bapa mangsa yang berjaya dihubungi kemudian muncul tidak lama kemudian. 
“Dia hanya mampu mengucap syukur sambil memeluk anaknya itu. Mangsa benar-benar bernasib baik dan terselamat dari ajal,” katanya. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.