Rabu, 12 Mac 2014

Radar Tentera Kesan MH370 Belok Ke Selat Melaka

Ada pihak percaya pesawat penerbangan MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu berpatah balik ke arah barat

Keadaan di dalam kokpit Boeing 777

Pesawat itu gagal dikesan selepas alat pengesan pada pesawat tersebut dipadamkan


Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (kiri) dan CEO MAS (kanan) menunjukkan kawasan carian baru

 Anak kapal Division 918 Tentera Udara Vietnam di atas pesawat AN-26 buatan Soviet terlibat dalam operasi carian

IPad digunakan oleh seorang pegawai tentera di dalam pesawat Tentera Udara Vietnam semasa operasi mencari

Anggota tentera Vietnam menggunakan helikopter untuk misi mencari dan menyelamat pesawat MAS


KUALA LUMPUR - Tentera Malaysia percaya pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu berpatah balik dan terbang beratus-ratus kilometer ke arah barat selepas terputus hubungan dengan menara kawalan, kata seorang pegawai kanan tentera semalam. 
Kehilangan pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 239 penumpang tersebut dianggap paling misteri dalam sejarah penerbangan dan operasi mencari pesawat itu secara besar-besaran masih menemui jalan buntu. 
Pihak berkuasa Malaysia berkata, pesawat tersebut hilang sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing, China. 
"Pesawat berkenaan mengubah haluan selepas memasuki ruang udara Kota Bharu dan terbang rendah sebelum menuju ke Selat Melaka," kata seorang pegawai kanan tentera yang turut terlibat dalam siasatan kehilangan pesawat tersebut. 
Menurutnya, situasi itu sekali gus menolak kemungkinan berlakunya kerosakan mekanikal kerana pesawat tersebut terbang sekurang-kurangnya sejauh 500 kilometer selepas kali terakhir dikesan menara kawalan. 
Pesawat itu gagal dikesan selepas alat pengesan pada pesawat tersebut dipadamkan. 
Satu sumber bukan tentera yang mengetahui mengenai siasatan berkata, laporan terbaharu itu merupakan antara beberapa teori yang dikemukakan dan sedang disiasat pihak berkuasa. 
Ketika terputus hubungan dengan menara kawalan, pesawat itu berada di antara Kota Bharu dan bahagian selatan Vietnam serta terbang pada ketinggian 10,670 meter. 
Selat Melaka antara laluan kapal paling sibuk di dunia yang terletak di sepanjang pantai barat Malaysia. 
Sebuah akhbar tempatan yang memetik Panglima Tentera Udara, Tan Sri Rodzali Daud berkata, pesawat itu kali terakhir dikesan oleh radar tentera kira-kira pukul 2.40 pagi berhampiran Pulau Perak, utara Selat Melaka. 
Katanya, pesawat itu terbang pada paras 1,000 meter lebih rendah daripada ketinggian sebelumnya. 
Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat berhubung pesawat itu selepas ia dikesan buat kali terakhir menerusi radar tersebut. 
Mematikan alat pengesan atau transponder di dalam pesawat itu menyebabkan ia tidak dapat dikesan menerusi radar. 
Radar sekunder berinteraksi dengan transponder bagi mendapat maklumat mengenai identiti pesawat, kelajuan dan ketinggian. 
Namun, ia tetap masih boleh dikesan radar utama yang digunakan pihak tentera. - Reuters/Kosmo!

TUDM nafi kesan pesawat di ruang udara Selat Melaka
Jeneral Tan Sri Rodzali Daud

KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Rodzali Daud menafikan laporan media bahawa pihak tentera mengesan pesawat MH370 yang hilang itu di ruang udara Selat Melaka, jauh dari kawasan ia berhubung kali terakhir dengan pengawal trafik udara awam sebelum hilang empat hari lalu. 
"Saya ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah membuat kenyataan sedemikian," katanya dalam satu kenyataan hari ini. - Reuters/Berita Harian
Nelayan dakwa temui objek mirip rakit penyelamat pesawat

PORT DICKSON - Sekumpulan nelayan mendakwa menemui satu objek menyerupai rakit penyelamat kapal terbang ketika menangkap ikan, kira-kira 10 batu nautika dari pantai di sini, tengah hari semalam. 
Seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Azman berkata, ia ditemui tenggelam timbul kira-kira jam 12 tengah hari dan menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kuala Linggi sebelum jurucakap APMM mengesahkan sepasukan APMM dihantar ke tempat kejadian. - Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.