Isnin, 14 April 2014

Calon Yang Kalah Pemilu Jalani Rawatan Stres

Ruang di Hospital Mahoni Medan, Sumatera Utara ini bakal digunakan merawat calon Pemilu yang mengalami stres. Foto: Antara

Gambaran seorang calon Pemilu yang gagal dan bercakap sendirian kerana stres. Foto: Tempo


JAKARTA - Empat puluh calon dari seluruh pelusuk Indonesia yang gagal memperoleh undi terbanyak pada Pemilihan Umum (Pemilu) Rabu lepas, menjalani terapi kejiwaan di Pondok Pesantren Dzikrusyifa Asma Berojomusti, Desa Sendangagung di daerah Lamongan, Jawa Timur. 
Penjaga Pondok Pesantren Dzikrusyifa Asma Berojomusti, Kyai Muzakkin berkata puluhan calon yang datang ke pondok itu berasal dari Sumatera, Kalimantan, Sulawesi, Madura, Bali serta daerah sekitarnya. 
"Mereka datang ke tempat ini sejak Khamis malam secara silih ganti," katanya seperti dipetik agensi berita Antara, Ahad. 
Beliau berkata jumlah mereka yang datang ke pondok itu tahun ini lebih ramai berbanding 23 orang pada Pemilu 2009. 
"Daripada 40 orang yang datang menjalani terapi di Pusat Rehabilitasi dan Dadah Pondok Pesantren Dzikrusyifa Asma Berojomusti itu, seramai 13 adalah perempuan dan 27 lelaki. 
"Jumlah ini dijangka bertambah kerana perolehan undi adalah berdasarkan kiraan awal dan belum ada keputusan rasmi," katanya. 
Beliau berkata pondok pesantrennya yang terletak di Jalan Raya Sekanor atau lebih dikenal dengan "Ponpes Jin", mempunyai pusat rehabilitasi dan dadah sejak dulu, dan menangani beberapa pesakit yang mengalami masalah psikologi seperti stres. 
"Beberapa pesakit yang datang, kondisinya mengalami tekanan serius kerana gagal memperoleh sokongan dari rakyat. Beberapa anggota keluarga yang menghantar calon itu juga bercerita saudara mereka itu bersikap aneh dan bercakap sendiri," katanya. 
Pihaknya menyediakan ruangan khusus kepada sejumlah pesakit itu kerana mereka sering memberontak dan marah kepada setiap orang yang ditemui. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.