Isnin, 21 April 2014

Kerana Ditegur, Lelaki Ini Tikam Bapa Sendiri

Lelaki ini menikam bapanya dengan pisau kerana menegurnya yang sedang bertengkar dengan tunangnya. Foto: myMetro

Suspek yang tidak bekerja didapati suspek positif dadah jenis morfin. Foto: Berita Harian

Kejadian disahkan oleh Asisten Komisioner K Manoharan. Foto: Kosmo!


Niat baik seorang bapa menegur anaknya yang sedang bertengkar dengan tunangnya bertukar tragedi apabila lelaki itu patah tulang rusuk belakang dan luka di belakang badannya dipercayai akibat ditikam dengan pisau dalam satu pertengkaran di Kampung Lembah Harapan, Seberang Takir, di sini, kelmarin. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 9 malam ketika mangsa berusia 55 tahun sedang berehat di kediamannya sebelum terdengar bunyi bising di luar rumah. 
Beliau berkata, sebaik keluar, mangsa yang juga seorang kakitangan kerajaan mendapati anak lelakinya berusia 22 tahun sedang bertengkar dengan tunangnya berusia 20-an menyebabkan mangsa masuk campur dengan menegur suspek. 
“Teguran itu bukan saja tidak diendahkan, sebaliknya mengundang kemarahan suspek yang memarahi mangsa supaya tidak masuk campur urusan dia dan tunangnya. 
“Walaupun dilarang, mangsa tetap menghampiri pasangan itu dengan niat mahu meleraikan pergaduhan menyebabkan berlaku pertengkaran mulut antara dua beranak terbabit. 
“Pada mulanya, dua beranak itu sekadar bertikam lidah sebelum berlaku pergelutan dan mangsa tiba-tiba rebah tidak lama kemudian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, semalam. 
Manoharan berkata, isteri mangsa berusia 50-an dan beberapa anaknya yang mendengar pergaduhan itu segera keluar sebelum mendapati mangsa sudah terbaring dalam keadaan berlumuran darah lalu dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut kira-kira jam 9.30 malam. 
Katanya, kejadian itu menyebabkan mangsa luka di belakang dan patah tulang rusuk belakang dipercayai akibat ditikam dipercayai menggunakan sebilah pisau. 
“Kecederaan dialami mangsa agak serius, tetapi dia dilaporkan stabil dan masih dirawat di HSNZ. 
Bagaimanapun, kami berjaya menahan suspek yang tidak bekerja itu kira-kira jam 1.30 pagi (semalam) tadi ketika menerima rawatan di HSNZ selepas diserang adik beradiknya yang berang dengan tindakan suspek mencederakan bapa mereka. 
“Siasatan masih dijalankan termasuk mengesan senjata yang digunakan suspek untuk menyerang bapanya. 
Malah, hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis morfin,” katanya. 
Suspek yang juga anak ketujuh daripada 14 beradik, kini direman selama tujuh hari sehingga Sabtu ini untuk disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.