Sabtu, 5 April 2014

KLIA2 Selamat Digunakan?

Klia2, selamat digunakan setelah keretakan landasan kapal terbang dibaiki, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB). Foto: Kosmo!

Pegawai MAHB berkata keretakan yang berlaku di landasan kapal terbang ini adalah normal

Pegawai MAHB juga berkata gambar ini merupakan foto lama, dan kini tidak ada lagi keretakan. Foto: TMI

Keretakan seperti ini hanya kecacatan kecil kata pegawai MAHB. Foto: The Edge

Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia enggan berpindah ke Klia2 pada 2 Mei. Foto: Wikipedia

Kerajaan berkata, DCA ialah pihak berkuasa yang menentukan landasan terbang itu selamat, bukannya syarikat penerbangan


SEPANG – Terminal Penerbangan Tambang Rendah baharu, klia2, selamat digunakan setelah keretakan landasan kapal terbang dibaiki, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB). 
Pengurus Besar Kanan Bahagian Operasi MAHB Datuk Azmi Murad memberitahu Bernama isu keretakan tersebut tidak akan mengganggu keseluruhan operasi terminal itu yang akan dibuka pada 2 Mei. 
Azmi juga berkata keretakan yang berlaku di landasan kapal terbang itu adalah normal dan bukan keretakan struktur. 
Beliau berkata proses kejuruteraan biasa memadai untuk menyelesaikan masalah tersebut. 
Azmi berkata Malido Air telah melakukan pendaratan percubaan di klia2 pada Oktober lepas, yang membuktikan bahawa landasan tersebut berada dalam keadaan baik. 
Klia2 kini boleh menampung beban sehingga 100 ton, melebihi berat Superjumbo A380 — kapal terbang komersil terbesar di dunia. 
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa MHAB akan mengambil tindakan serta-merta seperti pembinaan semula jika keretakan struktur berlaku. 
Untuk keretakan biasa, pembaikan akan dan telah dijalankan, katanya dalam temu bual di klia2. 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berserta gambar di laman blog yang menunjukkan keretakan di klia2 serta keengganan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia berpindah ke Klia2 pada 2 Mei. 
Azmi berkata gambar itu merupakan foto lama, dan kini tidak lagi keretakan. 
“Keretakan di landasan terbang itu disebabkan oleh proses pemendapan, berlaku susulan kerja paip cerucuk pili bomba. 
Kerja paip tersebut kemudian disimen sebelum dilapiskan dengan tar bagi melindungi paip tersebut. Jarak antara cerucuk itu menyebabkan proses pemendapan tidak sekata dan berlaku keretakan, katanya. 
Mengenai gambar menunjukkan keretakan pada bangunan di klia2, beliau berkata ia merupakan ‘kecacatan liabiliti’ dan laporan telah dibuat kepada pihak kontraktor. 
“Ia merupakan kecacatan kecil,” katanya 
Rabu lepas, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengumumkan bahawa LCCT di Sepang akan ditutup pada 9 Mei. 
Beliau juga memberi jaminan bahawa keselamatan di landasan, laluan pesawat’ dan lain-lain, sudah disahkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA). 
Menurutnya DCA datang ke klia2 untuk melakukan pemeriksaan tersebut. 
Azmi berkata DCA akan melakukan pemeriksaan akhir pada 10 April ini. 
“DCA ialah pihak berkuasa yang akan menentukan sama ada landasan terbang itu selamat, dan bukannya syarikat penerbangan,” katanya. 
“LCCT sedia ada juga retak. Saya mahu menutup LCCT disebabkan mereka kata keretakan itu bahaya kepada pesawat, dan oleh itu saya mahu memindahkan mereka ke sini (klia2),” katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.