Selasa, 1 April 2014

Pekerja Bank Curang, Isteri Tetap Setia

John Skermer, pekerja Bank dari Barclays didakwa kerana pecah amanah RM10.8 Juta

Walaupun curang, Tracym, isteri Skermer, seorang guru matematik, hadir di mahkamah memberi sokongan kepada suaminya 


LONDON - Seorang pekerja bank yang sudah berkahwin dan mencuri lebih 2 juta pound (RM10.8 juta) dari Barclays serta membelanjakannya untuk pelacur dipenjara selama tujuh tahun. 
John Skermer, 45, membuka akaun bank palsu dengan overdraf 1 juta pound (RM5.4 juta), sebelum menyalurkan wang terbabit ke dalam akaun peribadinya. 
Beliau membelanjakan hampir kesemua wang terbabit untuk melanggan pelacur, malah berhabis sebanyak 1 juta pound untuk seorang pelacur saja. 
Lelaki terbabit didakwa menghabiskan masa beberapa bulan bersama wanita Thailand yang dikenali sebagai Kookai, dengan makan angin ke London dari Cheshire dan menginap di hotel mewah serta makan di restoran terkemuka. 
Sepanjang tempoh itu, isteri Skermer, Tracym 33, yang dikahwininya selama 10 tahun serta mempunyai dua anak tidak mengetahui identiti suaminya itu. 
Malah lelaki terbabit membohongi isteri dan keluarganya dengan mengatakan beliau terpaksa bekerja luar untuk membantu polis menyiasat kes penipuan. 
Jawatannya sebagai ketua keselamatan teknologi maklumat (IT) membolehkan beliau mencuri sejumlah 2.1 juta pound dari bank tanpa dapat dikesan sepanjang lima tahun. Tetapi penipuan terbabit akhirnya terbongkar apabila kemas kini keselamatan di bank terbabit mengesan akaun palsu. 
Ketika beliau diminta menyiasat perkara itu, beliau akhirnya membuat pengakuan. 
Malah Skermer turut membelanjakan sejumlah wang untuk percutian golf mewah, tiket menyaksikan perlawanan Manchester United dan sebuah kereta pacuan empat roda berharga 35,000 pound (RM190,000). - AGENSI/Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.