Rabu, 9 April 2014

Sindiket Jual Walkie-talkie Haram

SKMM cawangan Perak merampas peralatan walkie-talkie haram di sebuah pejabat penjualan kereta terpakai di Bercham

Walkie-talkie haram ialah walkie-talkie yang tidak mendapat kelulusan dan pengesahan SIRIM (gambar hiasan)

Penjualan walkie-talkie haram adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998


IPOH - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) cawangan Perak hari ini menumpaskan satu sindiket penjualan walkie-talkie haram yang mensasarkan kumpulan Rukun Tetangga (RT) di sekitar Ipoh hari ini. 
Jurucakap SKMM cawangan Perak berkata dalam serbuan bersama-sama anggota polis dan Jabatan Kastam di sebuah pejabat penjualan kereta terpakai di Bercham pada 4.15 petang itu, mereka menahan dua suspek, ibu serta anak lelakinya, masing-masing berusia 40-an dan belasan tahun.  
"Kita merampas 12 set lengkap walkie-talkie haram yang dipercayai dijual RM300 setiap satu set serta barang-barang lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.  
Beliau berkata sindiket ini juga dipercayai menjalankan perkhidmatan membaiki dan menyelenggara alat komunikasi berkenaan kerana pihaknya menemukan banyak bahagian walkie-talkie lain.  
Katanya sindiket itu dipercayai menjual walkie-talkie yang tidak mendapat kelulusan dan pengesahan SIRIM kepada hampir 1,500 pembeli di sekitar Ipoh.  
Beliau berkata kedua-dua suspek itu dibawa ke Balai Polis Bercham untuk diambil keterangan sebelum pihaknya mengambil tindakan lanjut.  
"SKMM Perak sebenarnya menerima banyak aduan daripada RT mengenai penjualan walkie-talkie haram itu pada Mac lepas, kita kemudian buat pemantauan dan penyiasatan serta semakan dengan SIRIM sehingga membawa ke lokasi ini," katanya.  
Beliau berkata penjualan walkie-talkie haram adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu melibatkan peralatan atau peranti bukan standard.  
Suspek boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.