Khamis, 24 April 2014

Tanah Mendap Di Bukit Bintang

Tanah mendap di depan bangunan LTAT di Jalan Bukit Bintang. Foto: myMetro

Lalu lintas sesak akibat laluan ditutup berikutan kejadian tanah mendap di Jalan Bukit Bintang, semalam. Foto: myMetro


KUALA LUMPUR - Kejadian tanah mendap di depan bangunan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Jalan Bukit Bintang di sini, semalam, menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya yang teruk apabila laluan itu ditutup. 
Mendapan yang menyebabkan wujud lubang kecil sepanjang dua meter berhampiran laluan pejalan kaki itu dipercayai akibat kerja pembinaan terowong bawah tanah untuk projek Transit Aliran Massa (MRT).  
Pengarah Strategik Komunikasi dan Perhubungan Awam Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Amir Mahmood Razak berkata, penutupan Jalan Bukit Bintang dibuat pada jam 9 pagi selepas kontraktor mengesan mendapan kecil di laluan pejalan kaki kawasan itu. 
Bagaimanapun, kehadiran anggota polis trafik serta Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) yang berada di kawasan itu membantu mengawal lalu lintas. 
“Penutupan jalan ini dibuat mengikut piawaian Prosedur Operasi Standard (SOP) selepas tanda awal mendapan dikesan kakitangan kami. - myMetro

Nafi Ada Kereta Jatuh

Kerja pembaikan sedang dijalankan. Foto: Sinar Harian


SHAH ALAM – Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menafikan dakwaan bahawa sebuah kereta terjatuh dalam mendapan yang berlaku di Jalan Bukit Bintang, hari ini. 
Pengarah Strategi Komunikasi dan Perhubungan Awamnya, Amir Mahmood Razak berkata, mendapan itu tidak menghasilkan lubang yang besar sehingga menyebabkan kerosakan harta. 
“SOP kami bertindak segera dan jalan itu terus ditutup apabila mendapan itu dikesan. Saya menafikan segala rumor yang tersebar mengatakan bahawa kereta telah terjatuh ke dalam lubang. 
“Saya gesa agar pihak yang menyebarkan rumor berkenaan menghentikannya kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh menimbulkan panik kepada orang awam,” katanya dalam satu kenyataan. 
Laluan yang terlibat dilaporkan akan ditutup sehingga 6 pagi esok. 
Dalam kenyataan sama, MRT Corp berkata, tindakan segera berkenaan diambil berikutan kontraktor kerja-kerja bawah tanah Projek MRT, MMC Gamuda KVMRT (T) mengesan berlaku sedikit mendapan di bawah laluan pejalan kaki. 
“Apabila mendapan itu dikesan, kontraktor segera mengerahkan Emergency Response Team (ERT) dan menghubungi pihak berkuasa. 
“Keputusan itu dibuat berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Projek MRT untuk menutup sehingga jarak 500 meter Jalan Bukit Bintang itu bagi memastikan risiko minimum kepada orang awam,” kata kenyataan itu. 
Menurut kenyataan itu juga, penutupan jalan yang bermula sejak 9 pagi tadi membolehkan kerja mengukuhkan tanah dengan menurap kawasan di bawah laluan itu. 
“Jalan di Bukit Bintang akan ditutup sehingga 6 pagi esok untuk tujuan mengukuhkan tanah itu. Dalam tempoh penutupan itu, laluan trafik bertentangan akan dikawal manakala laluan trafik dari Bukit Bintang menghala ke Jalan Tun Razak akan diarahkan kepada dua laluan bertentangan,” katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.