Khamis, 17 April 2014

Tragedi Feri Karam Di Korea Selatan

Pasukan penyelamat Korea Selatan bertungkus-lumus mencari 291 orang yang hilang selepas sebuah feri karam semalam

Kemalangan feri mendapat liputan meluas daripada media Korea Selatan

Waris penumpang feri melihat senarai nama mangsa kemalangan

Penumpang yang terselamat sedang menunggu berita tentang nasib rakan-rakan mereka

Seorang penumpang feri sedang diselamatkan oleh pasukan penyelamat

Helikopter turut digunakan dalam gerakan menyelamat

Penumpang yang memakai jaket keselamatan berenang ke arah bot pasukan penyelamat

Budak perempuan ini dibalut dengan selimut selepas berjaya diselamatkan

Feri semakin tenggelam selepas karam beberapa jam

Pemandangan dari udara di lokasi kemalangan

Gerakan menyelamat terus dijalankan walaupun keadaan di lokasi kemalangan semakin gelap

Wanita ini menahan perasaan menunggu berita lanjut tentang penumpang yang belum ditemui


SEOUL - Pasukan penyelamat Korea Selatan termasuk beberapa penyelam unit elit tentera laut, SEAL bertungkus-lumus mencari 291 orang yang hilang selepas sebuah feri membawa 459 penumpang dan kru karam semalam. 
Ketika kejadian, feri Sewol itu dalam perjalanan dari Bandar Incheon menuju ke pulau peranginan Jeju. 
Kebanyakan penumpangnya terdiri daripada pelajar sekolah tinggi. 
Setakat ini, empat penumpang disahkan maut selepas feri itu tenggelam di Laut Jepun, kira-kira 20 kilometer dari pulau Byungpoong, selatan Korea Selatan. 
Pihak berkuasa turut menyatakan seramai 55 orang cedera dalam nahas tersebut. Menuru tnya, mangsa yang disahkan terselamat setakat ini hanya seramai 164 orang. 
"Baki 291 orang lagi masih belum ditemui," kata Timbalan Menteri Keselamatan dan Pentadbiran Awam, Lee Gyeong-Og pada satu sidang akhbar di sini. 
Semakan semula itu mencetuskan kebimbangan bahawa angka kematian sebenar adalah jauh lebih tinggi berbanding anggaran awal. 
Feri seberat 6,825 tan itu terbalik dan tenggelam dua jam selepas ia menghantar isyarat kecemasan pada pukul 9 pagi waktu Korea Selatan. 
Beberapa rakaman televisyen menunjukkan penumpang-penumpang yang memakai jaket keselamatan memanjat ke dalam bot-bot keselamatan ketika feri itu beransur karam. 
Pada masa yang sama, petugas-petugas penyelamat termasuk kru sebuah bot nelayan bertungkus-lumus untuk menyelamatkan mereka. 
Gyeong-Og berkata, jumlah mangsa terselamat yang lebih tinggi itu berpunca daripada kekeliruan ekoran percampuran sumber maklumat. 
"Daripada 429 penumpang, lebih 300 orang merupakan pelajar sebuah sekolah tinggi di Ansan, selatan bandar raya ini yang melakukan perjalanan bersama 14 guru mereka," kata Gyeong-Og. 
Kebanyakan mangsa yang terselamat berjaya diselamatkan oleh sebuah kapal nelayan dan beberapa kapal komersial yang kebetulan berada di sekitar lokasi kejadian. 
Tidak lama selepas itu beberapa buah kapal dan bot tentera laut serta pengawal pantai yang turut dibantu oleh beberapa buah helikopter tiba untuk memberi bantuan. 
Menurutnya, sejumlah penyelam termasuk pasukan penyelam SEAL Korea Selatan memeriksa feri yang karam itu. 
"Namun, air laut yang berkeladak menyebabkan jarak penglihatan amat terhad," tambah timbalan menteri berkenaan. 
Terdahulu, feri tersebut belayar dari pelabuhan Incheon yang terletak sekitar 430 kilometer dari Jeju petang kelmarin. 
Punca kemalangan masih belum jelas tetapi beberapa penumpang terselamat memberitahu, feri itu terhenti secara tiba-tiba yang menunjukkan ia mungkin terlanggar beting pasir. 
Cuaca pada hari kejadian dilaporkan cerah dengan kekuatan ombak dan angin yang sederhana. 
"Terdapat bunyi yang amat kuat sebelum feri ini mula senget," kata seorang penumpang yang terselamat, Kim Song-Muk. 
"Para penumpang bergegas untuk naik ke geladak atas tetapi ia amat sukar ekoran keadaan kapal yang condong," katanya. 
Seorang pegawai tempatan yang tiba di lokasi kemalangan dengan menaiki bot sejam selepas isyarat kecemasan dihantar berkata, beliau amat bimbang mengenai mangsa-mangsa yang masih hilang. 
"Feri itu hampir karam sepenuhnya apabila saya tiba di tempat kejadian. Ramai orang dikhuatiri terperangkap," katanya. 
Suhu air laut pada hari kejadian adalah sejuk iaitu sekitar 12.6 darjah celsius. 
Hampir 300 orang maut apabila sebuah feri di perairan barat Korea Selatan terbalik pada Oktober 1993 dalam kemalangan yang disifatkan antara terburuk di negara itu.- AFP/Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.