Ahad, 13 Julai 2014

Pemandu Lori Putus Kaki Kemalangan

Anggota bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan Muhammad Shah yang tersepit selepas lori yang terbalik. Foto: myMetro

Anggota penyelamat membawa cebisan kaki Muhammad Shah. Foto: myMetro


SHAH ALAM - Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan hampir tiga jam selepas kakinya tersepit sebelum putus apabila lori dipandunya terbalik di Kilometer 3.5 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) berdekatan susur keluar ke Setia Alam, di sini, kelmarin. 
Dalam kejadian jam 10 malam itu, Muhammad Shah Musa, 40, dilihat masih dalam keadaan sedar ketika operasi menyelamat dijalankan pihak bomba, malah tabah menghadapi saat getir sepanjang tempoh tiga jam pasukan penyelamat berusaha mengeluarkannya dari lori itu.  
Bagaimanapun, usaha menyelamatkan kaki kanannya akhirnya gagal selepas mangsa tidak dapat menahan kesakitan selain usaha menyelamat yang terbatas.  
Lori membawa minyak sawit itu dalam perjalanan dari Pahang menuju ke Pelabuhan Klang, dipercayai terbabas ketika tiba di lokasi kejadian sebelum melanggar penghadang di kiri jalan lalu terbalik. 
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan jam 10.15 malam dan bergegas ke tempat kejadian. 
“Hasil pemeriksaan awal mendapati kaki kanan mangsa tersepit di antara besi penghadang dengan badan lori dan hampir terputus. Usaha mengeluarkan mangsa memakan masa kerana mangsa masih dalam keadaan sedar.  
“Pihak bomba cuba mengelak mangsa menjadi lebih trauma, malah usaha mengeluarkannya menjadi lebih sukar memandangkan besi penghadang jalan tidak dapat dipotong menggunakan alat pemotong,” katanya. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.