Selasa, 19 Ogos 2014

Konkrit Di Tapak Pembinaan Landasan MRT Jatuh

Konkrit di tapak projek pembinaan landasan MRT di Kota Damansara runtuh. Foto: NST

Tiga mangsa dikhuatiri maut selepas terperangkap dalam runtuhan konkrit di tapak projek pembinaan landasan MRT ini. Foto: MSN

Kejadian malang ini dikatakan berlaku pada jam 8.30 malam

Anggota Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh berada di lokasi kejadian bagi operasi menyelamatkan mangsa. Foto: NST

Suasana malam tadi di tempat berlakunya musibah. Foto: TMI

Operasi menyelamat mangsa sedang dijalankan. Foto: BH

Anggota Bomba dan Penyelamat berusaha menyelamatkan mangsa. Foto: BH

Pemandangan di tapak kejadian. Foto: BH


PETALING JAYA - Tiga pekerja warga Bangladesh maut dalam runtuhan bahagian konkrit landasan projek Mass Rapid Transit (MRT) di Kota Damansara, di sini, malam tadi. 
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corporation Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Muhamad Faruk Khan, 38; Mohammad Elahi Hossain, 27 dan Mohammad Alauddin Mollik, 34. 
Beliau berkata, ketika kejadian jam 8.30 malam itu, tiga lelaki terbabit sedang melakukan kerja-kerja pemasangan satu bahagian konkrit pada ketinggian 38 meter bersama seorang lagi pekerja apabila ia terlucut daripada tiangnya dan jatuh ke tanah. 
"Semasa runtuhan berlaku seorang pekerja sempat menyelamatkan diri dengan terjun dari lokasi pemasangan konkrit dan mengalami kecederaan," katanya pada sidang media di lokasi kejadian, malam tadi. 
Azhar berkata, tiga pekerja berkenaan dipercayai bekerja pada shif kedua sehingga awal pagi sebelum kejadian runtuhan berlaku. 
Katanya, pihak MRT Corporation sudah menutup kawasan tapak projek selepas diarahkan oleh pihak berkuasa untuk berbuat demikian. 
"Buat masa ini kami terpaksa menutup tapak projek sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak," katanya. 
Beliau memberitahu satu bahagian konkrit yang mempunyai 14 blok dianggarkan seberat 650 tan dan digunakan dalam pembinaan landasan MRT menuju ke arah selatan. 
Beliau berkata, kawasan pembinaan yang mula beroperasi pada 2012 dan dijangka siap pada awal 2015. 
Menurutnya, siasatan secara terperinci sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar runtuhan. 
"Pihak MRT sentiasa mengutamakan keselamatan pekerja dalam mereka yang bekerja di tapak projek," katanya. - myMetro

Pertama Kali Di Malaysia: Bos Letak Jawatan Ambil Tanggungjawab

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Azhar Abdul Hamid letak jawatan. Foto: BH

SUNGAI BULOH - Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Azhar Abdul Hamid mengumumkan meletak jawatan serta merta kerana mengambil tanggungjawab kejadian konkrit runtuh di projek MRT di Kota Damansara yang mengorbankan tiga pekerja Bangladesh. 
Beliau mengumumkan peletakan jawatan itu di pejabat pembinaan Mass Rapit Transit (MRT), di sini, hari ini. 
Pekerja Bangladesh berkenaan maut selepas dihempap landasan konkrit seberat 490 tan di tapak projek MRT berhampiran Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRI) jam 8.30 malam tadi. 
Setakat ini, mayat dua pekerja Bangladesh yang maut dihempap blok konkrit landasan Mass Rapid Transit (MRT) di Kota Damansara malam tadi berjaya ditemui dan dibawa keluar dari runtuhan itu pada jam 1.35 tengah hari tadi. 
Mangsa ialah Muhamad Faruki Khan, 38, dan Mohammad Alauddin Mollik, 34. 
Sebelum itu, mayat seorang lag pekerja Bangladesh, Mohamad Elagi Hossain, 26, berjaya dikeluarkan pada jam 2.34 pagi tadi dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat. 
Ketika kejadian empat pekerja Bangladesh sedang bertugas di atas segmen landasan itu. Bagaimanapun, seorang daripada mereka berjaya menyelamatkan diri.

Punca Nahas Kontraktor Tidak Patuhi SOP

Siasatan awal mendapati kontraktor tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pemasangan landasan. Foto: BH


KUALA LUMPUR - Siasatan awal kejadian blok landasan projek Mass Rapid Transit (MRT) runtuh semalam mendapati prosedur operasi standard (SOP) pemasangan landasan terbabit tidak dipatuhi oleh kontraktor. 
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Zabidi Md Adib, berkata siasatan awal oleh inspektor keselamatan JKKP mendapati ketika kejadian, tiada pengawasan oleh jurutera atau penyelia terhadap pemasangan 'parapet wall' di landasan berkenaan. 
"Proses pemasangan 'parapet wall' landasan itu sepatutnya diawasi atau diselia oleh jurutera yang bertauliah bagi memastikan semua kerja dijalankan mengikut prosedur," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini. 
Sehubungan itu, JKKP mengeluarkan arahan 'henti kerja' serta merta di tapak pembinaan itu sehingga siasatan penuh selesai dijalankan. 
Manakala pihak kontraktor perlu tampil mengemukakan kertas kerja bagaimana menyelesai dan mencegah insiden seumpama itu daripada berulang. 
"Arahan itu dikeluarkan kepada kontraktor utama, sub-kontraktor serta pemilik projek berkenaan iaitu Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd," katanya. 
Katanya, sekiranya siasatan lengkap mendapati berlaku sebarang aktiviti pelanggaran undang-undang, maka tindakan seterusnya adalah mendakwa pihak yang terlibat di mahkamah. 
Sementara itu, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata isu utama yang timbul berhubung kejadian adalah isu keselamatan yang tidak dititikberatkan oleh kontraktor terlibat. 
"Isu keselamatan di tempat kerja adalah sangat penting dan semua orang yang terlibat seharusnya mematuhi setiap arahan bagi mengelak kejadian sebegini berlaku," katanya. 
Beliau berkata, beberapa siri kejadian malang membabitkan MRT dan terbaharu semalam boleh melunturkan keyakinan orang ramai terhadap mereka. 
"MRT Corp perlu memulihkan keyakinan orang ramai terhadap mereka dengan bertanggungjawab penuh atas kejadian semalam," katanya. 
Mengulas laporan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, Lee berkata ia tindakan bermaruah dan harus dihormati. 
"Saya anggap beliau (Azhar) begitu komited terhadap keselamatan dan tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan saya hormat tindakan beliau (meletak jawatan)," katanya. 
Semalam, tiga pekerja binaan lelaki warga Bangladesh maut akibat dihempap landasan konkrit seberat 490 tan di tapak projek MRT berhampiran Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRI) di Kota Damansara pada jam 8.34 malam. 
MRT Corp, dalam satu kenyataan, menyatakan pekerja terbabit ialah Mohamad Faruk Khan, Mohammad Elahi Hossain dan Mohammad Alauddin Mollik. 
Sementara itu, Azhar berkata beliau diberitahu bahawa mangsa berada di atas 'span' sebelum kemalangan berlaku. 
"Terdapat empat pekerja sebenarnya, seorang di tanah, tiga yang lain berada di atas. Saya difahamkan dan perlu mendapat pengesahan bahawa mereka ada memasang pengikat badan. 
"Saya rasa mungkin pengikat badan ini yang menghalang mereka daripada melarikan diri dari 'span' konkrit berkenaan mengakibatkan mereka terhempap oleh konkrit itu," katanya pada sidang akhbar sebelum mengumumkan peletakan jawatan sebagai CEO berkuat kuasa serta merta. 
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Tan Sri Syed Hamid Albar, pula berkata dalam tempoh seminggu, MRT Corp serta JKKP akan mengemukakan laporan masing-masing. - BERNAMA



1 ulasan:

  1. berapakah anggaran kerugian yang ditanggung akibat kejadian?

    BalasPadam

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.