Jumaat, 22 Ogos 2014

Mahkamah Kekalkan Kemenangan Jokowi

Suasana dalam Mahkamah Perlembagaan ketika memutuskan perbicaraan pilihan raya presiden Indonesia. Foto: aa.com

Penyokong Prabowo Subianto mengadakan demontrasi berdekatan mahkamah

Polis terpaksa menembak gas pemedih mata dan meriam air dalam usaha menyuraikan penyokong Prabowo. Foto: AFP

Peserta demonstrasi yang berlindung daripada gas pemedih mata. Foto: AFP

Jokowi berharap Prabowo dan penyokong dapat menerima keputusan mahkamah yang mengesahkan kemenangannya. Foto: Reuters

Prabowo tidak dapat dihubungi untuk mengulas keputusan berkenaan. Foto: merdeka.com


JAKARTA - Mahkamah tertinggi Indonesia semalam mengekalkan keputusan pilihan raya presiden negara itu, sekali gus membuka jalan kepada Joko ‘Jokowi’ Widodo untuk menggantikan Presiden Susilo Bambang Yudhoyonio sebagai pemimpin negara demokrasi ketiga terbesar dunia. 
Mahkamah Perlembagaan menolak usaha terakhir oleh calon yang kalah dalam pilihan raya berkenaan, Prabowo Subianto untuk membatalkan keputusan berkenaan yang dia dakwa dicemari dengan penyelewengan dan penipuan secara besar-besaran. 
Keputusan mahkamah itu tidak boleh dirayu. 
“Mahkamah menolak semua permohonan daripada pemohon (Prabowo)” kata Ketua Mahkamah Perlembagaan, Hamdan Zoelva. 
Suruhanjaya Pilihan Raya bulan lalu mengisyitiharkan Jokowi menang dengan kelebihan 8.5 juta undi atau lebih 53 peratus dalam pilihan raya presiden paling sengit dalam sejarah Indonesia. 
Terdahulu, polis terpaksa menembak gas pemedih mata dan meriam air dalam usaha menyuraikan penyokong Prabowo yang mengancam menyerbu mahkamah itu. 
Lapan orang dikatakan cedera. 
Sembilan hakim mula membaca keputusan mereka seorang demi seorang yang dianggarkan beratusan muka sejak jam 2 petang (waktu tempatan) dan mengambil masa berjam-jam sebelum mengumumkan keputusan menyeluruh. 
Dengan halangan dari segi perundangan sudah berakhir, presiden terpilih itu kini boleh menyegerakan persiapannya sebelum mengambil alih jawatan pada 20 Oktober depan. 
Beliau dijangka meletak jawatan selaku Gabenor Jakarta dalam masa terdekat ini untuk memberi tumpuan kepada proses peralihan kuasa. 
Pentadbiran Susilo sehingga ini menangguhkan perbincangan dengan pasukan peralihan Jokowi mengenai isu ekonomi, kenaikan kos subsidi minyak dan jurang defisit akaun semasa yang semakin besar. 
Seorang anggota pasukan peralihan Jokowi memberitahu wartawan: “Kami akan bersikap terbuka dalam perbincangan dengan pentadbiran kerajaan sekarang.” Kira-kira 50,000 polis dan tentera dikerah berjaga-jaga di sekitar Jakarta bagi menghadapi kemungkinan keganasan meletus. 
Beberapa premis perniagaan dan sekolah ditutup sebagai langkah berwaspada. 
Seorang jurucakap Prabowo menggesa penyokongnya mengelak daripada melakukan keganasan dan berkata, keputusan mahkamah itu akan dihormati. 
“Kami akan menghormati keputusan mahkamah kerana ia muktamad dan berperlembagaan,” kata Tantowi Yahya sebelum keputusan akhir itu diumumkan. 
Prabowo bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mengulas keputusan berkenaan. 
Bagaimanapun, menurut beberapa laporan, beliau akan bermesyuarat dengan pengerusi beberapa parti politik yang menyokongnya dalam pilihan raya 9 Julai lalu yang dipuji oleh pemerhati antarabangsa kerana telus. 
Sementara itu, Jokowi semalam berharap Prabowo dan penyokongnya dapat menerima keputusan pilihan raya selepas Mahkamah Perlembagaan mengesahkan kemenangannya.- Agensi/ myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.