Rabu, 10 September 2014

MH17 Berkecai Di Udara?

Mungkinkah lubang-lubang ini disebabkan oleh serpihan daripada peluru berpandu anti-pesawat?

Penyiasat berkata pesawat MH1717 berkecai di udara akibat kerosakan struktur selepas terkena objek bertenaga tinggi

Posisi terakhir MH17 sebelum berkecai di udara

Kesan bopeng (anak panah merah) dan koyakan (anak panah kuning)



Laporan awal Lembaga Keselamatan Belanda menyatakan nahas ini bukan berpunca daripada kesilapan teknikal

Boeing 777 ini tiba-tiba menjunam dari udara pada 17 Julai lalu dan membunuh kesemua 298 penumpang dan anak kapal 

Bangkai pesawat masih kekal berada di tempat nahas berlaku


KUALA LUMPUR - Pesawat MH1717 penerbangan malaysia berkecai di udara akibat kerosakan struktur selepas terkena objek bertenaga tinggi dalam jumlah yang banyak menembusi dari luar ketika nahas pada 17 Julai lalu. 
Lembaga Keselamatan Belanda yang mengeluarkan laporan 34 muka surat semalam menyatakan nahas di timur Ukraine itu juga bukan berpunca daripada kesilapan teknikal atau tindakan anak kapal. 
"Cebisan pesawat yang ditemui menunjukkan bahawa ia berkecai sewaktu berada di ruang udara. 
"Kesan kemusnahan pada bahagian kokpit dan fiuslaj konsisten dengan gambaran kemusnahan yang diakibatkan oleh hentaman objek berkuasa tinggi pada skala yang besar," kata pengerusi lembaga itu, Tjibee Joustra. - Berita Harian


Liow (tengah) menunjukkan laporan siasatan awal MH17

Sistem pertahanan peluru berpandu udara Buk dilihat semasa pameran tentera di Moscow pada 2010 


PUTRAJAYA - Malaysia berikrar untuk mendedahkan mereka yang bertanggungjawab "menekan butang" untuk menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 dan membawa penjenayah itu ke muka pengadilan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. 
"Seseorang mesti bertanggungjawab terhadap insiden ini. Seseorang telah 'menekan butang' untuk menembak jatuh pesawat. Kami akan cuba secara terbaik untuk mengesan pelakunya," kata beliau pada sidang media semasa mendedahkan kandungan laporan awal siasatan insiden penembakan pesawat MH17 di sini, hari ini. 
Liow berkata, Malaysia dengan bantuan rakan-rakan antarabangsa termasuk dari Australia dan Belanda akan meneruskan siasatan untuk mencari penjenayahnya. 
Laporan awal itu menunjukkan bahawa pesawat itu berkecai di udara, kemungkinan disebabkan kerosakan struktur selepas terkena sebilangan besar objek berkuasa tinggi yang menembusi pesawat daripada luar. 
Ketika ditanya sama ada objek berkuasa tinggi yang menghentam pesawat kemungkinan ialah peluru berpandu, Low enggan membuat spekulasi dan berkata : "Oleh kerana laporan dengan jelas menyebut bahawa ia dihentam objek berkuasa tinggi daripada luar, sebab itulah kita perlu menganalisis data dengan lebih lanjut." 
Liow berkata, ia juga penting untuk memasuki semula lokasi nahas bagi mencari bukti-bukti lain untuk membantu menghasilkan dapatan terperinci dan juga untuk mengesan baki mayat mangsa. 
Beliau berkata, Kerajaan Malaysia diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sedang berusaha untuk mempermudahkan proses memasuki kawasan nahas bagi mengesan baki mayat serta kesan peribadi yang masih berada di tapak nahas. 
"Saya menyeru masyarakat antarabangsa dan semua yang terlibat dalam konflik Ukraine untuk mendapatkan keadilan dan mengesan penjenayah yang menyebabkan tindakan kejam ini," katanya. 
Penerbangan MH17 membawa 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu. 
Selain 43 penumpang warga Malaysia, penumpang lain ialah warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dand New Zealand. - BERNAMA


Terdapat tiga pesawat komersial lain di kawasan itu pada masa tragedi itu berlaku

Lokasi tragedi MH17 di kampung Hrabove (Grabovo), beberapa 80km timur Donetsk 


KUALA LUMPUR - Komunikasi radio terakhir daripada kru penerbangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 sebelum ditembak jatuh di timur Ukraine, adalah ‘ROMEO NOVEMBER DELTA, Malaysia One Seven kepada Pusat Kawalan Udara (ATC) Dnipropetrovs’k Dnipro Radar (DNP). 
Menurut laporan awal Lembaga Keselamatan Belanda yang dikeluarkan petang semalam berhubung nahas itu, komunikasi radio dan telefon itu perbualan antara kokpit pesawat MH17 dengan DNP dan DNP dengan Pusat Kawalan Udara Russia, Rostov (RST). - myMetro


Foto kotak hitam yang dikeluarkan oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara melalui Lembaga Keselamatan Belanda


KUALA LUMPUR - Kedua-dua kotak hitam iaitu perakam suara kokpit (CVR) dan perakam data penerbangan (FDR) pesawat penerbangan MH17 disahkan dalam keadaan baik walaupun terdapat kerosakan pada struktur luar peranti itu. 
Bagaimanapun, kerosakan itu tidak menjejaskan memori perakam terbabit dan Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) dimaklumkan bahawa keseluruhan data berdurasi 30 minit itu sudah dimuat turun sebelum dianalisis dengan terperinci. “Data perakam itu konsisten dengan komunikasi Menara Kawalan Udara (ATC) dengan penerbangan MH17. Rakaman itu juga mendedahkan tiada tanda luar biasa dilaporkan dalam pesawat, namun perakam audio itu terhenti tiba-tiba. 
“Ketika perakam itu dimainkan semula pihak penyiasat tidak dapat mengenal pasti sebarang amaran awal atau kegagalan sistem penerbangan namun analisis terperinci sedang dilakukan,” kata laporan itu. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.