Jumaat, 26 September 2014

PM Britain Mohon Maaf Kepada Ratu Elizabeth

Cameron (kiri) berbual dengan Bloomberg ketika melawat pejabat beliau di New York, Amerika Syarikat pada Selasa lalu.

Ratu Elizabeth tidak pernah membuat sebarang pandangan politik secara terbuka berhubung kemerdekaan Scotland baru-baru ini

Cameron menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat pada Selasa lalu


LONDON - Perdana Menteri Britain, David Cameron akan membuat permohonan maaf secara peribadi kepada Pemerintah United Kingdom (UK), Ratu Elizabeth II selepas beliau mendakwa baginda sangat gembira selepas rakyat Scotland menolak untuk merdeka, lapor stesen televisyen Sky News semalam. 
Cameron didapati mengeluarkan kenyataan itu ketika sedang berbual dengan bekas Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat pada Selasa lalu. 
"Baginda menarik nafas lega dan saya tidak pernah mendengar suara yang terlalu gembira seperti itu," kata Cameron. 
Bagaimanapun, perbualan kedua-dua tokoh tersebut didengari oleh beberapa kru televisyen yang mengekori mereka. 
Ratu Elizabeth tidak pernah membuat sebarang pandangan politik secara terbuka dan menjauhkan diri daripada melahirkan sebarang pandangan berhubung perdebatan kemerdekaan Scotland baru-baru ini. 
Media melaporkan bahawa Cameron akan memohon maaf kepada Ratu Elizabeth secara peribadi apabila beliau dijadualkan mengadap baginda dalam satu pertemuan akan datang. 
"Saya sangat malu dan memohon maaf kerana perkara ini sudah berlaku. 
"Saya bercakap secara peribadi dengan Bloomberg dan jelas saya tidak akan melakukan perkara yang sama lagi," katanya. 
Menurutnya, pejabatnya telah menghubungi istana bagi menjelaskan perkara itu dan beliau juga akan memohon maaf. - Reuters/ Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.