Rabu, 3 September 2014

Ulama Saudi Cadang Makam Nabi Dipindah?

Makam Nabi Muhammad terletak di bawah kubah hijau, Masjid Nabawi

Pintu Makam Nabi Muhammad


Cadangan dikemukakan seorang ulama Saudi untuk memindahkan makam Nabi Muhammad (SAW) di Masjid Nabawi dan dikebumikan di sebuah kubur tidak bertanda mencetuskan kontroversi semalam. 
Rancangan itu, menurut akhbar Independent yang diterbitkan di London, mencadangkan supaya pusara Rasulullah itu dialihkan ke tanah perkuburan al-Baqi yang terletak bersebelahan Masjid Nabawi. 
Bagaimanapun, menurut laporan itu, setakat ini belum ada keputusan rasmi dibuat mengenai cadangan berkenaan. 
Namun, pendedahan mengenai cadangan itu mencetuskan kemarahan di media sosial. 
Seorang pembaca yang menamakan dirinya Yahya Birt berkata, rancangan itu, jika dilaksanakan akan mendapat tentangan habis-habisan daripada masyarakat Islam. 
Seorang pembaca lain, M Faris menyelar kerajaan Saudi dengan menyifatkannya sebagai satu lagi contoh ketidakpekaan pemimpin dan ulama negara itu terhadap warisan Islam dan mengingatkan, langkah itu, jika dilaksanakan adalah penghinaan terhadap masyarakat Islam. 
Akhbar Independent semalam melaporkan seorang ulama Arab Saudi mengemukakan pelan kontroversi untuk memindahkan makam Rasulullah itu selepas beberapa ulama negara itu menyuarakan kebimbangan ia semakin menjadi tempat pemujaan. 
Menurut laporan itu, dokumen 61 muka berkenaan diedarkan kepada anggota pihak berkuasa Tanah Suci, mencadangkan supaya makam itu dipindahkan ke tanah perkuburan al-Baqi, bersebelahan dengan Masjid Nabawi dan dikuburkan tanpa sebarang tanda. 
Akhbar itu memetik Pengarah Yayasan Kajian Warisan Islam, Dr Irfan Al-Alawi sebagai berkata: “Mereka mahu menghalang orang Islam mengunjungi makam berkenaan kerana menganggap perbuatan itu syirik. 
“Satu-satunya cara yang boleh mereka lakukan untuk menyekat orang ramai mengunjungi makam itu ialah memindahkannya ke tanah perkuburan dan tanpa tanda,” kata Irfan. 
Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada Raja Abdullah, penjaga rasmi dua tanah suci, atau jawatankuasa yang bertanggungjawab terhadap Masjid Nabawi, bersetuju dengan cadangan berkenaan. 
Mereka juga bimbang kemunculan pelan berkenaan, yang berasal dari fahaman Wahabbi akan memecah-belahkan pengikut fahaman Sunni dan Syiah. 
“Pengikut Sunni amat menghormati makam Rasulullah dan akan menentang rancangan berkenaan. 
Pengikut Syiah juga menentangnya kerana menghormati anak Rasulullah, Fatimah. 
Sudah pasti masyarakat Islam terkejut dengan pendedahan ini. 
Ia akan mencetuskan kemarahan,” kata Irfan. - myMetro

Berita Dari Bernama
Dalam siaran akhbar yang dihantar kepada Bernama hari ini, ISISCO yang berpangkalan di Rabat, Mahgribi, mengecam sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas dalam artikel ditulis oleh wartawan akhbar itu, Andrew Johnson. 
Akhbar itu pada hari ini menyiarkan artikel itu yang menyebut cadangan kontroversi itu terkandung dalam satu dokumen kajian yang disediakan oleh seorang tokoh akademik Arab Saudi. 
Laporan itu menyebut makam Nabi Muhammad SAW akan dipindahkan daripada kedudukannya sekarang dalam Masjid al-Nabawi di Madinah ke kawasan perkuburan Baqi yang terletak berdekatan masjid itu dan pihak berkuasa Arab Saudi sedang berbincang berhubung cadangan itu. 
ISISCO berkata, laporan tidak bertanggungjawab itu merupakan suatu pembohongan besar berpunca daripada rasa benci dan konspirasi terhadap umat Islam dan kerajaan Arab Saudi yang menjadi tuan rumah kepada tempat-tempat suci Islam. 
Tuduhan palsu itu juga bertujuan untuk mewujudkan kekeliruan dan kekacauan yang mampu mengancam keselamatan dan perpaduan serta memburukkan lagi keadaan di rantau ini di mana peperangan dan keganasan antara agama berlaku, menurutnya.  
ISISCO menyeru umat Islam di seluruh dunia supaya tidak mempercayai tuduhan jahat itu dan berkata makam Rasulullah SAW akan kekal di tempat mulianya sehingga hari kiamat. 
ISISCO juga menuntut pihak berkuasa Arab Saudi menyaman penulis dan akhbar yang menerbitkan artikel pembohongan itu. - Bernama

Berita Terkini Dari myMetro 
MAKKAH - Jurucakap Sidang Redaksi harian Arab News, Mowafaq Al-Nowaiser bneerkata, mereka sedang mempertimbangkan kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar harian Inggeris, The Independent yang dianggap menyebar berita fitnah berhubung perancangan memindahkan makam Rasulullah dari Masjid Nabawi. 
“Kami membincangkan kemungkinan itu bersama peguam kami,” katanya.  
Mowafaq turut menuduh akhbar berkenaan mencuri artikel yang ditulis seorang wartawannya. 
Harian Arab News kelmarin menyiarkan kenyataan Mowafaq yang antara lain menyebut The Independent juga keliru dalam menterjemahkan artikel berkenaan. 
Arab News juga menyiarkan bantahan Majlis Hal Ehwal Dua Masjid Suci terhadap penyiaran artikel The Independent itu, malah jurucakapnya Ahmed Al-Mansouri berkata, dokumen yang digunakan untuk penulisan artikel berkenaan tidak mencerminkan keputusan pemerintah Arab Saudi. 
“Ini sekadar pandangan peribadi seorang penyelidik yang menjelaskannya melalui kajian dilakukannya dan tidak langsung menggambarkan pandangan kerajaan,” katanya. - Agensi/ myMetro 08/092014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.