Jumaat, 7 November 2014

Betulkah Roh Orang Mati Menjadi Hantu?

Berdasarkan hadis nabi, roh ditiupkan ke dalam janin manusia pada hari ke-40

Namun selepas seseorang meninggal dunia ke manakah hala tuju rohnya?

Benarkah roh orang mati akan menjelma menjadi hantu?

Gambaran seorang pelukis tentang syaitan


Sejak zaman dahulu lagi manusia mempercayai bahawa mereka hidup kerana terdapat roh dalam tubuh badan mereka. Namun persoalan tentang roh amat sulit bagi mereka. Maka terdapatlah kepercayaan di kalangan manusia, sama ada di Barat atau di Timur misalnya yang percaya bahawa roh orang mati akan menjadi hantu.
Rasulullah sendiri di masa hidupnya pernah ditanya tentang roh. Pada mulanya baginda menghadapi kesulitan untuk menjawab pertanyaan yang kritis ini. Maka Allah menjawab pertanyaan tersebut melalui firman-Nya sebagaimana berikut:
“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: Roh itu perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja” ayat 85, Surah al-‘Isra'
Maknanya, pengetahuan manusia tentang roh begitu terbatas! Bagaimanapun, suatu hal yang menarik ialah kebanyakan manusia di dunia ini percaya mereka berasal daripada keturunan Adam.
Berdasarkan kepercayaan dalam Islam, roh manusia berasal daripada Allah sebagaimana yang disebutkan dalam ayat al-Quran berikut:

“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia daripada tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh (ciptaan) Ku maka hendaklah kamu sujud kepadanya” ayat 28 - 29, Surah al-Hijr
Demikianlah Allah telah memasukkan roh ciptaan-Nya ke dalam jasad Adam menyebabkan manusia pertama itu hidup. Lalu bagaimana pula dengan manusia yang lainnya? Rasulullah ada menceritakan tentang hal ini sebagaimana berikut:

Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan lainnya dari ‘Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: “Rasulullah saw telah menceritakan kepada kami – sedang Baginda adalah orang benar yang telah dibenarkan kata-katanya - sabdanya: “Bahawa seseorang kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian dijadikan segumpal darah seumpamanya, kemudian dijadikan seketul daging seumpamanya, kemudian Allah mengutuskan seorang Malaikat untuk menulis empat kalimah dan diarahkan agar menulis; amalannya, ajalnya, rezekinya dan untung jahat atau untung baik, kemudian ditiupkan rohnya…”. [Sahih Al-Bukhari No. 3208].
Bagaimanakah keadaan roh manusia semasa hidup dan selepas mati? Secara ringkas menurut al-Quran adalah sebagaimana berikut:

"Allah SWT memegang jiwa (roh) ketika matinya (seseorang) dan memegang jiwa (roh) orang yang belum mati di waktu tidurnya, maka Dia menahan jiwa (roh) yang ditetapkan matinya dan melepaskan jiwa (roh) yang lain ke badannya sehingga sampai ajalnya yang ditentukan ..." ayat 42, Surah az-Zumar
Maknanya, Allah memegang roh orang yang tidur dan orang yang mati. Bezanya, roh orang tidur dikembalikan menyebabkan dia terjaga manakala roh orang mati tetap berada dalam pegangan Allah.
Lalu setelah meninggal dunia, di manakah pula roh manusia berada? Persoalan ini terdapat jawapannya dalam al-Quran sebagaimana berikut: 

"Hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka (orang kafir) dia berkata: " Ya Tuhanku kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong . Dan di hadapan mereka ada DINDING (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan." ayat 99 - 100, Surah al-Mu’minun
Maknanya, roh orang mati berada di alam Barzakh. Selain itu roh orang mati tidak dapat kembali ke dunia kerana terdapat dinding (barzakh) yang menghalang mereka kembali ke dunia. Mereka kekal berada di situ sehingga hari kiamat. 
Bagaimanapun berbeza dengan roh orang mati syahid! Berdasarkan al-Quran, roh orang mati syahid berada di syurga sebagaimana berikut:

“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.” ayat 169 Surah Ali Imran
Sebab itulah terdapat di kalangan umat Islam yang sangat teringin hendak mati syahid!
Lalu bagaimana dengan dakwaan mereka yang mengatakan pernah terjumpa hantu mereka yang telah meninggal dunia? Perlu diingat, selain manusia terdapat juga makhluk lain yang turut sama diciptakan Allah mendiami dunia ini sebagaimana mafhum firman-Nya:

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku" ayat 56, Surah adh-Dhariyat
Manakala manusia dan jin saling mempunyai hubungan. Allah menceritakan di dalam al-Quran dialog yang diucapkan oleh jin tentang hubungan mereka dengan manusia sebagaimana berikut:

“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat” ayat 6, Surah al-Jin
Selain daripada itu, Allah mengingatkan pula tentang adanya makhluk yang bernama syaitan:

“Sesungguhnya yang demikian itu ialah syaitan yang menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku, jika betul kamu orang-orang yang beriman.” ayat 175, Surah ‘Ali Imran
Walau bagaimanapun, kita tidak sepatutnya takut kepada syaitan itu kerana:
"Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhannya." ayat 99, Surah an-Nahl

Kesimpulannya, perjalanan roh orang yang telah mati adalah perjalanan sehala menuju alam akhirat.  Roh orang mati tidak boleh ‘U-turn’ ke dunia untuk menjadi hantu. Yang menjadi hantu ialah memang hantu dari golongan jin dan syaitan. Wallahu Alam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.