Selasa, 25 November 2014

Cabaran Pelayaran Mengelilingi Pulau Borneo

Hasrat tiga pelayar mengelilingi Kepulauan Borneo terbantut. Foto: NSPT

Enjin kapal layar mereka, Australis II, mengalami kerosakan. Foto: NSTP

Australis II di Jeti Jabatan Laut Sarawak, di Muara Tebas. Foto: NSTP


KUCHING - Hasrat tiga pelayar antarabangsa mengelilingi Kepulauan Borneo berdepan detik mencemaskan selepas enjin utama kapal layar mewah mereka, Australis II, mengalami kerosakan teknikal kira-kira 10 batu nautika dari Perairan Tanjung Po, di sini petang tadi.
Walaupun dilengkapi layar, namun ketiadaan angin mengakibatkan kapal berkenaan hanyut mengikut arus, lebih-lebih lagi dalam keadaan laut bergelora sejak beberapa hari lalu sehingga pemilik kapal, Kapten Shaun Sims, 53, terpaksa membuat panggilan kecemasan.
Selain Shaun, dua anak kapal masing-masing dari Australia dan Amerika Syarikat iaitu Cristine Turner, 59, dan Beth Sadler, 30, berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dengan kapal layar itu ditunda ke Jeti Jabatan Laut Sarawak, Muara Tebas, di sini kira-kira jam 5 petang tadi.
Shaun ketika ditemui pemberita, berkata ketiadaan angin menyebabkan beliau terpaksa menurunkan sauh di Perairan Tanjung Po bagi membolehkan kedudukan mereka dikesan pasukan penyelamat.
"Kuching adalah destinasi persinggahan kami di Sarawak selepas mula berlayar sejak lima hari lalu dari Sutera Harbour, Kota Kinabalu. Kami berterima kasih kepada APMM kerana menyelamatkan kami kerana keadaan laut ketika musim monsun cukup menakutkan, termasuk ombak besar dan angin kencang.
"Buat sementara ini, kami akan berehat di Kuching untuk menunggu kerosakan enjin Australis II dibaiki sebelum meneruskan pelayaran ke Pontianak, Indonesia," katanya.
Sementara itu, Pengarah Operasi Wilayah APMM Sarawak, Komander Shahref Steve Mac Queen Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.30 tengah hari dan menggerakkan sebuah bot peronda ke lokasi kejadian pada jam 2 petang.
"Dalam keadaan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini, agak berisiko untuk ke laut, Namun, sekiranya masih ingin ke laut, sila pastikan anda memiliki peralatan keselamatan yang mencukupi, khususnya peralatan komunikasi dapat berfungsi dengan baik," katanya. - Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.