Selasa, 11 November 2014

Catalonia Mahu Merdeka Daripada Sepanyol

Penyokong pro-kemerdekaan memegang bendera Catalonia ketika pengumuman keputusan pungutan suara

Dua juta pengundi memilih untuk merdeka dalam satu pungutan suara simbolik yang dijalankan di wilayah itu

Presiden wilayah Catalonia, Artur Mas menganggap pungutan suara berkenaan suatu kejayaan yang besar

Kertas undian yang digunakan dalam pungutan suara

Para pengundi beratur panjang dalam pungutan suara tersebut


BARCELONA – Pemimpin Catalonia berikrar meneruskan usaha menuntut kemerdekaan daripada Sepanyol selepas seramai dua juta pengundi memilih untuk merdeka dalam satu pungutan suara simbolik yang dijalankan di wilayah berkenaan kelmarin.
Presiden wilayah Catalonia, Artur Mas menganggap pungutan suara berkenaan yang dijalankan secara tidak rasmi adalah satu kejayaan yang besar.
“Keputusan undian ini jelas menunjukkan bahawa penduduk Catalonia mahu pemerintahan sendiri,” katanya.
Dalam pungutan suara berkenaan, pengundi yang berusia 16 tahun ke atas perlu menjawab dua soalan.
Soalan pertama: Adakah anda mahu Catalonia menjadi sebuah negara? dan soalan kedua: Adakah anda mahu negara itu merdeka?.
Timbalan Presiden wilayah Catalonia, Joana Ortega berkata, keputusan referendum menunjukkan seramai dua juta pengundi atau 80.7 peratus menjawab ‘Ya’ untuk kedua-dua soalan.
Madrid bagaimanapun menganggap pungutan suara berkenaan sebagai sia-sia kerana bercanggah dengan perlembagaan negara dan tidak diiktiraf oleh mahkamah negara itu.
Begitupun, Mas berharap keputusan pungutan suara berkenaan bakal menguatkan lagi tuntutan kemerdekaan Catalonia daripada Sepanyol dan didengar oleh kerajaan Eropah yang lain.
Ujarnya, Catalonia akan meneruskan usaha menuntut satu pungutan suara kemerdekaan dijalankan secara rasmi dan meminta sokongan antarabangsa bagi mendesak kerajaan Sepanyol membenarkan proses itu. – AFP/ Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.