Isnin, 8 Disember 2014

Jual Kuih Akok 1,000 Biji Sehari

Nik Faizah Nik Abdul Rahman, 60, menjadikan rumahnya sebagai pusat pengeluaran beraneka kuih.

Murtabak diraja sejuk beku adalah di antara makanan yang dihasilkan oleh Nik Faizah.

Pelanggan tidak putus-putus datang membeli walaupun ketika hujan.

Seorang pekerja Nik Faizah mengisi adunan kuih akok ke dalam acuan sebelum dibakar.

Kuih piana bukan saja popular dalam kalangan orang tempatan, tetapi turut diminati pelancong Timur Tengah.

Inilah rupa kuih akok yang dihasilkan Nik Faizah, lembut dan enak.

Ini pula ialah bubur asyura yang mendapat tempahan tinggi ketika musim mengacau.


Kerap kali orang mengidam kuih tradisional Kelantan termenung panjang. Kuih yang diidam ibarat bergentayang di tubir mata.
Namun, kalau hendak merasa, entah bila dapat dicuba. Usik orang dulu-dulu, kalau tak dapat melepaskan kepingin, elok dicuit kuih diidam ke mulut bayi. Kalau tidak, meleleh air liur si kecil tak berkesudahan.
Sekarang umpamanya, jika dirisik-risik rakan terdekat, pasti jawapannya kena tunggu bulan puasa.
Memang Ramadan punya kuasa menukar segala menu kepada yang enak dan aneh belaka. Masa itulah muncul pelbagai juadah dari negeri Cik Siti Wan Kembang.
Begitupun, orang Kelantan tidaklah mudah kempunan macam yang di bandar. Banyak manisan dan kuih tradisional boleh dibeli di Pasar Khadijah, Kota Bharu.
Cuma orang di Kuala Lumpur dan negeri lain yang berjauhan saja yang mudah termimpi-mimpikan tahi itik, pauh dilayang, jala mas, nekbak, piana, buah tanjung dan akok.
Justeru, kesempatan Nuansa ke Kota Bharu minggu lalu digunakan sebaiknya untuk meneroka keistimewaan kuih tradisional Kelantan yang turut digelar manisan diraja.
Musim tengkujuh di Kelantan bermula sejak awal November lalu. Hujan tidak henti berselang-seli lebat dan gerimis.
Biarpun demikian, premis niaga Serimas D'Royal Murtabak tidak putus-putus dikunjungi pelanggan sejak pagi.
Menurut pengusahanya, Nik Faizah Nik Abdul Rahman, 60, bengkel kuihnya dibuka seawal 8 pagi setiap hari dan mula dibanjiri pelanggan sejam kemudian.
Antara juadah yang menjadi rebutan pelanggan adalah murtabak diraja, kuih akok, jala mas, buah tanjung dan cik mek molek.
"Orang tempatan adalah pelanggan tetap setiap hari. Ada yang membeli untuk sajian di rumah, ada juga yang berborong untuk majlis tertentu atau dijadikan buah tangan kepada saudara jauh.
"Ada ketikanya kita juga menerima tempahan dari istana untuk majlis tertentu, tempahan syarikat korporat untuk pek cenderahati dan pencuci mulut, sajian untuk majlis kahwin serta permintaan menggubah manisan untuk dijadikan hantaran pernikahan.
"Pendek kata, rumah ini (yang sebahagiannya dijadikan bengkel memasak) tidak pernah lekang dengan pengunjung dan pelanggan dari serata pelosok negara," katanya.
Dari jauh, kedengaran pula suara pekerja Nik Faizah menyampuk. Meriah laman rumah tatkala dipenuhi bas dan kenderaan dari luar katanya. Mereka datang dari jauh semata-mata untuk mencuba kuih tradisi Kelantan.
Bercerita mengenai asal usul perniagaannya, Nik Faizah berkata, perusahaan kuih tradisi itu diwarisi daripada arwah ibunya, Nik Sarimah Nik Omar.
"Dulu mak buat (kuih) ikut tempahan. Tapi sekarang saya dan anak-anak komersialkan dengan bantuan lapan pekerja.
"Kami berniaga setiap hari dan menyiapkan tempahan yang diterima. Selain permintaan dari istana dan orang tempatan, tempahan juga banyak diterima dari seluruh negara dan Singapura.
"Resepi tiap-tiap juadah masih lagi sama sebagaimana saya pelajari daripada arwah mak. Semua sukatan dan bancuhan saya kendalikan sendiri. Pekerja hanya perlu masak," katanya.
Ketika membandingkan kualiti kuihnya dengan juadah sama di pasaran luar, Nik Faizah berkata, ramai yang memuji resepinya lebih asli dan enak.
Buktinya, pihak istana masih menempah pelbagai menu istimewa dari dapur Serimas D'Royal Murtabak.
"Selain manisan dan murtabak, kita juga ada itik solo, cik banding, kuzi ayam, kabat daging, dalca, nasi tumpang dan asyura.
"Majoriti juadah ini adalah hidangan istana dan sukar ditemui di kedai," katanya.
Dalam pada duduk bersembang, penulis tergamam apabila diberitahu kuih akok dibuat mencecah 4,000 biji sehari.
Kata Nik Faizah, jualan akok, jala mas dan tahi itik laris berbanding manisan lain di premisnya.
"Sekurang-kurangnya 1,000 biji akok dijual setiap hari. Tapi selalunya ia berganda kerana permintaan tinggi.
"Bulan puasa, akok dihasilkan mencecah 10,000 biji sehari untuk memenuhi permintaan pembeli, peniaga, pihak hotel dan restoran besar.
"Ketika itu, kita terpaksa ambil lebih ramai pekerja dan membahagikan mereka kepada dua syif. Begitupun, saya berbesar hati kerana resepi keluarga menjadi kesukaan ramai," katanya. - Intan Mas Ayu Shahimi/ myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.