Selasa, 20 Januari 2015

Sate 2 Minit

Sate K-MAYAN: Sate siap dalam tempoh dua minit

Sate hanya perlu dimasukkan ke dalam ketuhar untuk dipanaskan

Rasanya sama seperti sate segar

Marsam bersama produk sate dua minit jenama K-MAYAN.


Memulakan perniagaan pada usia 24 tahun, penghijrahan usahawan kelahiran Parit Raja, Batu Pahat, Johor ini ke Negeri Pahang Darul Makmur membawa rahmat cukup besar dalam produk sate warisan keluarga.
Kesungguhan Marsam Ngadino, 49, berbayar apabila satenya mendapat sambutan pelanggan.
Berbekalkan ramuan tradisi serta rempah ratus seimbang dan penggunaan lidi kelapa sebagai bahan pencucuk menjadikan sate K-MAYAN mudah dimakan serta lembut.
Produk inovasi yang dibangunkan lima tahun lalu menembusi pasaran tempatan dengan sate ayam, lembu dan kambing.
Dalam memastikan produk sejuk beku berkualiti, Marsam bekerjasama dengan MARDI supaya tahan lama. 
Marsam yang juga Pengurus Rumah Sate Kemayan berkata, sate K-MAYAN diadaptasi daripada resipi ayahnya.
"Dulu, ayah kami berniaga sate di Singapura pada tahun 1950-an sebelum berhijrah ke Parit Raja, Johor.
"Saya membawa resipi warisan keluarganya ke Kemayan, Pahang.
"Berkat kesabaran, saya membuka cawangan pertama di Seremban," katanya.
Sepanjang 23 tahun dalam bidang ini, Marsam mencari idea untuk memvariasikan produknya.
"Maka tercetuslah sate dua minit kerana zaman sekarang sate adalah makanan warisan yang susah disediakan.
"Proses pembakaran sangat sukar memerlukan tenaga mahir bagi mengekalkan kualiti," katanya.
Penciptaan sate dua minit juga atas cadangan rakan-rakannya yang belajar di luar negara.
"Penerimaaan sate di luar negara bagus, tetapi untuk mendapatkan kualiti terbaik kepada pelanggan sangat sukar.
"Jadi saya bangunkan sate dua minit dan percubaan selama lima tahun akhirnya dipasarkan pada 2012," katanya.
Dia terus mengekalkan lidi kelapa dan rempah ratus kerana rasanya lebih enak.
"K-MAYAN adalah jenama yang didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
"Di sebalik nama berkenaan tersirat makna iaitu 'K' adalah kaya dan Mayan pula lumayan iaitu lumayan dengan rempah ratus serta tradisi," katanya.
Jabatan Pertanian Pahang banyak membantu memberi ilmu dan kemudahan prasarana (bengkel) dengan peruntukan RM40,000.
"Setakat ini, kami mengeluarkan 4,000 hingga 5,000 cucuk sate sehari.
"Proses atau cara penyediaan mudah iaitu pengguna hanya perlu keluarkannya daripada peti sejuk dan masukkan ke dalam ketuhar selama dua minit dan rasanya sama seperti sate segar," katanya.
Sate keluarannya mendapat sijil halal JAKIM dan Sijil Makanan Selamat, Tanggungjawab Industri (MeSTI) daripada Kementerian Kesihatan.
"Dalam perancangan masa depan, saya mahu memasarkan sate ini ke pasaran antarabangsa," katanya. - Mohd Sabran Md Sani / myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.