Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 14 Februari 2013

Tindakan Guru Perempuan Yang Melampau

Shahrul Asmawi (kanan) menunjukkan laporan polis sambil diperhatikan Nur Emilia di Kepala Batas semalam.

Murid sekolah rendah perlu dididik oleh guru yang bijaksana dan bertimbang rasa. Foto: sharpshooterblogger


KEPALA BATAS - Seorang bapa kecewa anaknya yang berusia 12 tahun bukan sahaja dirotan oleh seorang guru malah diarah keluar dari kelas dan bertukar sekolah lain gara-gara gagal menyiapkan kerja sekolah. 
Shahrul Asmawi Rashid, 35, mendakwa, kejadian itu berlaku ketika anak sulungnya, Nur Emilia sedang mengikuti mata pelajaran muzik yang diajar guru berkenaan di Sekolah Kebangsaan Permatang Binjai di sini pada pukul 8.30 pagi Jumaat lalu. 
Katanya, guru perempuan tersebut yang juga mengajar mata pelajaran Sains telah bertanyakan tentang kerja sekolah bagi mata pelajaran Sains yang diberikan beberapa hari sebelum itu. 
Jelasnya, disebabkan anaknya bersama empat lagi rakannya gagal menyiapkan tugasan tersebut, guru berkenaan didakwa telah bertindak merotan mereka sebelum menyuruh empat rakan anaknya duduk. 
"Selepas itu, guru berkenaan didakwa terus memarahi anak saya dan bertindak menarik tudungnya hingga tercabut selain menolak anak saya dan melempar buku ke lantai sebelum mengarahkan anak saya balik ke rumah. 
"Disebabkan rasa malu, anak saya terus keluar dari kelas dan menunggu di tempat letak basikal sebelum didatangi seorang rakan kelasnya yang memberitahu guru berkenaan telah mengarahkan anak saya bertukar ke sekolah lain," katanya. 
Menurut Shahrul Asmawi lagi, kira-kira pukul 9.30 pagi pada hari yang sama, dia menerima panggilan telefon daripada guru tersebut yang bertanyakan sama ada anaknya sudah sampai di rumah atau belum. 
Katanya, dia yang terkejut dengan perkara itu kemudiannya terus bertindak mencari anaknya di sekitar kawasan sekolah sebelum menemui anaknya di tepi jalan di belakang sekolah tersebut. 
"Bila sampai di rumah, anak saya terus menangis dan menceritakan kejadian yang berlaku di sekolah sebelum memberitahu, dia kini berasa malu untuk ke sekolah lagi. 
"Saya tak kisah kalau guru berkenaan pukul anak saya kerana tak siapkan kerja sekolah tetapi dia (guru berkenaan) tiada hak untuk halau anak saya keluar daripada sekolah ataupun arahkan anak saya pindah sekolah," jelasnya. 
Disebabkan rasa tidak berpuas hati dengan tindakan guru berkenaan, dia kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara kelmarin. 
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri, Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata, guru terbabit tidak boleh mengarahkan murid tersebut keluar dan bertukar sekolah dengan sewenang-wenangnya serta pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian tersebut. - Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.