Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 7 Mac 2013

Khabar Dari Manila

Kiram Marah Dipanggil Pengganas


LEMAH... Jamalul Kiram III berjalan dengan menggunakan tongkat di rumahnya
di Kampung Maharlika, Manila kelmarin.


MANILA - Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya Sultan Sulu menolak dakwaan Malaysia yang melabelkan pengikut-pengikutnya sebagai pengganas di Sabah, menurut beberapa laporan semalam. 
Menurutnya, para pengikutnya yang diketuai adiknya, Raja Muda Azzumuddie hanya cuba pulang ke tanah air mereka. 
"Adakah orang di tanah air sendiri pengganas? Adakah orang di kediaman sendiri di tanah air sendiri pengganas," kata Jamalul Kiram dalam satu temu bual bersama stesen radio dzMM. 
Menurut portal berita ABS-CBNnews.com, Jamalul Kiram menyatakan tujuan melabel penggikutnya sebagai pengganas adalah untuk menghalang campur tangan antarabangsa di Sabah. 
Sebelum ini, media Malaysia memetik Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman sebagai berkata bahawa Setiausaha Luar Filipina, Alberto Del Rosario bersetuju kumpulan yang menceroboh Sabah itu dianggap sebagai pengganas. 
Sementara itu, Jamalul Kiram sekali menegaskan bahawa Tentera Diraja Kesultanan Sulu itu tidak akan menyerah diri. 
Katanya, mereka selamat daripada serangan pasukan keselamatan Malaysia. 
Beliau berkata, adiknya dan para pengikutnya tidak akan kembali ke Filipina. 
Jamalul Kiram menyatakan, beliau tidak akan mengarahkan para pengikutnya itu kembali ke tanah air. 
Para pengikut Jamalul Kiram menceroboh Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu kerana menganggap ia merupakan tanah milik Kesultanan Sulu. - Agensi / Kosmo!

Ramai Warga Filipina Melarikan Diri Dari Pertempuran Di Sabah
Kampung air di Bongao, Tawi-Tawi. Foto: panoramio.com

Masjid Shiek Karimul  Makhdum, Tawi-Tawi

Bongao, pusat pentadbiran Tawi-Tawi. Foto: skyscrapercity.com

Bangun Capitol di Bongao, Tawi-Tawi

MANILA - Beratus-ratus rakyat negara ini yang menetap di Sabah telah melarikan diri kerana bimbang terperangkap dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan pengikut Sultan Jamalul Kiram III, kata seorang pegawai semalam. 
Kira-kira 280 rakyat Filipina dilaporkan tiba di Tawi-Tawi dari Sabah malam kelmarin. 
"Mereka berasa begitu takut mereka akan terperangkap dalam pertempuran tersebut. Justeru, mereka melarikan diri dan membawa bersama keluarga masing-masing," kata seorang pengarah pertahanan tempatan, Ramon Santos. 
Katanya, pejabat Pertahanan Awam telah bekerjasama dengan kerajaan tempatan di selatan wilayah Mindanao untuk memberi perkhidmatan sokongan kepada rakyat negara ini yang pulang dari Sabah. 
"Perkara paling utama adalah memastikan keselamatan mereka, memberi sesi kaunseling dan membantu mereka membina kehidupan baharu," katanya. - dpa / Kosmo!

Misuari Desak Aquino Letak Jawatan
Nur Misuari. Foto: globalbalita.com

Presiden Begnigno Aquino III. Foto: http://newsinfo.inquirer.net

MANILA - Pengerusi dan Pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari mendesak Presiden Filipina, Benigno Aquino III dan semua pegawai pemerintah yang terbabit dalam krisis di Sabah meletak jawatan. 
Misuari berkata demikian dalam satu wawancara dengan stesen radio Radyo Inquirer semalam. 
"Mereka menggunakan kuasa mereka sebagai pegawai pemerintah untuk bersubahat dengan kuasa asing bagi menentang warganegara mereka sendiri dan ia amat teruk," kata Misuari. 
Pada Selasa lalu, Misuari mengkritik Aquino kerana menyebelahi Malaysia. 
Dalam wawancara itu, dia mengecam Setiausaha Luar Negara, Alberto Del Rosario kerana bersetuju menggelar tentera Sultan Sulu di Sabah sebagai pengganas. - Kosmo!

Presiden Aquino Anggap Tindakan Sultan Sulu Salah

GENERAL SANTOS CITY - Presiden Filipina, Benigno Aquino III mempertahankan pendirian pentadbirannya sambil menegaskan tindakan Sultan Sulu dan pengikutnya yang menceroboh Lahad Datu, Sabah, sejak awal bulan lalu, adalah salah. 
"Apa yang berlaku di Sabah adalah salah. Jadi, mengapa kita perlu menyokongnya?" kata beliau di sini semalam. 
Dipetik Inquirer, Aquino berkata: "Insiden ini salah. Jika yang ini salah, maka adakah kita perlu sokong?" 
Beliau melahirkan pandangan ini di sebalik kritikan bahawa pentadbirannya tidak menangani isu pencerobohan ke atas Sabah dengan baik. 
Insiden ini kini bertukar menjadi pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan pengikut Sultan Sulu. 
Pasukan keselamatan menyerang tempat mereka berlindung sejak awal pagi kelmarin. 
Aquino menegaskan tuntutan ke atas Sabah sekiranya wajar perlu diselesaikan menerusi pendekatan aman. 
Katanya, masalah berkenaan dengan status Sabah muncul apabila ia dipajakkan kepada British North Borneo Company pada 1878. 
"Apa punca masalah ini? Bukankah nenek moyang mereka yang memulakan apabila mereka memajakkan Sabah kepada British? 
"Jika mereka ada masalah dengan perjanjian, dan jika kita berminat, maka kita perlu berbincang dengan cara yang baik," katanya. 
Kata beliau: "Jika perjanjian yang ditandatangani itu salah, maka kita perlu betulkan." 
Aquino juga menyelar kerana kini seluruh Filipina diheret bersama dalam masalah terbaru ini sedangkan tuntutan Kesultanan Sulu melibatkan pihak tertentu. 
"Dalam perjuangan mereka, seluruh negara diheret ke dalam isu ini," katanya lagi. 
Sehubungan itu kata Aquino, selaku ketua negara beliau perlu melindungi kepentingan majoriti rakyat Filipina. - Sinar Harian

Keluarga Raja Muda Agbimuddin Kiram bimbang
Agbimuddin (kiri). Foto: freemalaysiatoday

SIMUNUL - Keluarga Raja Muda Agbimuddin Kiram di Tawi Tawi, Simunul, mengakui bimbang dengan keadaan kumpulan tentera sultan di Sabah. 
Isteri Raja Muda Agbimuddin Kiram, Nurkisa Kiram berkata, mereka sekeluarga hanya mampu menunggu dan bersedia dengan sebarang kemungkinan dan kejadian buruk menimpa kumpulan suaminya itu. 
“Pulau Simunul tidak jauh dari Sabah tetapi berita dan perkhabaran tentang apa yang berlaku di sana adalah sukar diperoleh,” katanya. 
Menurutnya, mereka sekeluarga terputus hubungan dengan suaminya sejak keganasan meletus di Sabah, Jumaat lalu. 
Ahli keluarga Raja Muda berharap, kedua-dua pihak dapat capai resolusi aman bagi selesaikan kemelut di Lahad Datu. -ABS-CBN / Sinar Harian news.com

Jamalul Kiram III Isytihar Gencatan Senjata Sejak 12.30 Tengah Hari Tadi
Jamalul Kiram III dan Abraham Idjirani

LAHAD DATU: Jamalul Kiram III mengisytiharkan gencatan senjata sejak 12.30 tengah hari tadi dan meminta Malaysia membalas balik, menurut kenyataan yang dibaca jurucakapnya di Manila. 
"Mereka (pengikut Jamalul Kiram III) tidak meneruskan operasi dan tidak akan bergerak dari lokasi sekarang,” kata wakil itu, Abraham Idjirani. 
Kiram membuat kenyataan itu sebagai membalas permintaan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon untuk mendapat satu resolusi aman bagi menyelesaikan krisis ini. 
Idjirani mengharapkan Malaysia dapat bersetuju dengan permintaan itu. - Agensi / Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.