Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 22 Mac 2013

Mesir Dilanda Krisis Makanan



DERETAN pastri seperti croissant, baguette dan bagel memenuhi troli logam di sebuah kedai roti yang terletak di pusat bandar Kaherah, Mesir. Mohammed Alif yang bekerja di kedai tersebut memberitahu meskipun makanan masih mencukupi, tetapi keuntungan sukar diperoleh. 
Sejak akhir Disember lalu, mata wang Mesir telah susut lebih lapan peratus daripada nilai sebenarnya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). 
Situasi itu dikhuatiri menjejaskan keadaan ekonomi yang berpunca daripada ketidakstabilan politik akibat rusuhan yang sering berlaku di negara tersebut. 
Peningkatan umum terhadap harga makanan di seluruh dunia juga secara tidak langsung menyebabkan peniaga kedai bakeri seperti Alif perlu membayar bahan-bahan diimport yang diniagakan dalam dolar sekali gus mengakibatkan rasa tidak puas hati dengan kepimpinan baharu Mesir. 
Inflasi harga makanan melampau didorong kelemahan mata wang Mesir mengundang rasa cemas Presiden Mohamed Mursi yang bergelut dengan pelbagai isu selepas dua tahun mengambil alih pemerintahan daripada Hosni Mubarak. 
Pada masa yang sama, ekonomi negara itu juga berdepan kesukaran untuk keluar daripada belenggu kemiskinan yang sekian lama dihadapi. 
Menurut Alif, harga gula dan tepung 50 peratus lebih mahal berbanding setahun yang lalu. Keadaan itu menyebabkan pembuat roti tiada pilihan lain kecuali menaikkan harga. 
"Saya tidak boleh jual lebih mahal kerana tiada orang akan membelinya," katanya sambil mengisi rak dengan roti yang baru dimasak untuk menarik perhatian pembeli di kaki lima.
SETIAP tahun Mesir mengimport gandum ratusan ribu tan gandum bagi memenuhi keperluan penduduknya.

Harga yang melambung tinggi mampu menyebabkan pelanggan lari. Malah, terdapat risiko lebih besar menanti. Jika harga naik terlalu cepat atau bekalan mula menipis, besar kemungkinan berlaku pergolakan dalam negara yang pernah mencatat sejarah berlaku rusuhan akibat kenaikan harga roti. 
Justeru, ia merupakan salah satu sebab mengapa kerajaan pimpinan Mursi masih mengekalkan bekalan subsidi roti kosong meskipun ia menjadi satu beban yang berat pada bajet negara. Harga roti kosong dijual kurang daripada AS$0.01 (RM0.03) sekeping dan ia disasarkan kepada golongan miskin. 
Bagaimanapun, tiada sebarang subsidi untuk produk seperti yang dijual di kedai roti Alif, yang memenuhi keperluan pelanggan golongan pertengahan dan atasan. Sehubungan itu, Alif dan perniagaan lain terpaksa menanggung beban terhadap kenaikan harga. 
Sesetengah penjual roti pula telah mula mengurangkan saiz roti dan kek dalam usaha melindungi margin. Data yang dikeluarkan kerajaan minggu lalu menunjukkan, segelintir peniaga telah mula menaikkan harga untuk menampung kos tersebut. 
Laporan tahunan inflasi harga pengguna di bandar-bandar besar di Mesir, melonjak kepada 8.2 peratus pada bulan Februari berbanding 6.3 peratus pada Januari. Kenaikan itu mencecah paras tertinggi sejak Mei tahun lalu. Bulan lepas sahaja, harga makanan dan minuman meningkat sehingga 9.3 peratus. 
Ahli Ekonomi Standard Chartered di Dubai, Nancy Fahim meramalkan, kelemahan ekonomi Mesir mungkin mengehadkan sebarang peningkatan dalam inflasi keseluruhan. Tetapi, inflasi purata kebangsaan dalam tahun fiskal semasa sehingga Jun, mungkin boleh menjadi lebih rendah berbanding purata fiskal tahun lepas iaitu 8.7 peratus. 
"Kombinasi antara inflasi dan peningkatan kadar pengangguran yang tinggi, secara rasmi dianggarkan sebanyak 13 peratus. 
"Jumlah ini mampu memberi tekanan kepada kerajaan supaya mengekalkan subsidi walaupun ia akan meningkatkan kos perbelanjaan pada kewangan negara," jelas beliau. 
Setiap tahun, kerajaan Mesir membelanjakan lebih AS$5.5 bilion (RM17.17 bilion) untuk subsidi makanan yang merangkumi beras, minyak dan gula. 
Pemotongan subsidi roti mengakibatkan rusuhan dahsyat pada tahun 1977 manakala pada tahun 2008, Mubarak berdepan dengan para penunjuk perasaan yang membantah pemotongan subsidi tersebut.

KELIHATAN beberapa pelanggan wanita beratur untuk membeli roti di sebuah kedai kaki lima yang terdapat di Kaherah.

Menurut statistik Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 2010/2011, satu daripada empat rakyat Mesir hidup di bawah garis kemiskinan kebangsaan dengan pendapatan AS$1.65 (RM5.15) sehari. Pakar ekonomi pula mengatakan lebih ramai yang hidup di atas garis kemiskinan. 
Bagi Mohammed Ali yang menetap di Kaherah, kenaikan harga sejak beberapa bulan kebelakangan ini menyebabkan kewangan mereka hanya cukup untuk perbelanjaan keperluan asas. 
Berdiri di hadapan sebuah gerai roti di jalan yang sibuk di bandar tersebut, Ali berkata, dia tidak mampu memikirkan tentang perbelanjaan untuk barangan mewah atau percutian ke luar negara. 
"Harga makanan semakin meningkat, ekonomi pula semakin lemah dan ahli politik hanya duduk di kerusi mereka. Saya hanya mempunyai sedikit duit untuk membeli makanan, tapi tidak yang lain," ujarnya dengan nada sedih sambil membimbit beg plastik kecil yang berisi gulungan roti untuk keluarganya. 
Sementara itu, peniaga roti yang biasanya menerima subsidi kerajaan untuk menampung kos rendah roti dan harga bahan api yang lebih tinggi mengatakan, mereka masih belum dibayar seperti sebelumnya. 
Kerajaan berhutang pembayaran dengan peniaga roti sejak enam bulan lalu. Ketua persatuan pembuat roti pada bulan Februari lalu menegaskan, mereka tidak teragak-agak melakukan mogok jika masalah itu tidak diselesaikan segera. 
Harga di pasar awam turut meningkat. Pemilik Alfa Market, salah satu rangkaian pasar raya mewah Mesir, Mohamad Zada memberitahu, pihaknya terpaksa menaikkan harga barangan beberapa kali sejak dua bulan lalu. 
"Harga minyak masak sahaja telah naik tiga kali dalam tempoh tersebut. Terdapat kenaikan antara 20 hingga 30 peratus untuk segala-galanya," ungkap Zada. 
Pada masa ini, Zada tidak mendengar sebarang rungutan daripada pelanggan tentang kenaikan harga tersebut. Namun, Alfa Market sangat berhati-hati untuk mengehadkan harga roti yang dijual walaupun produk makanan mampu memberi keuntungan berganda.
"Orang mengatakan, perubahan harga roti merupakan satu jenayah," tegasnya. 
Bekas menteri kewangan dan ahli ekonomi Mesir, Samir Radwan berkata, Mesir perlu mengambil pengajaran daripada kesengsaraan masa silam. 
"Sejarah pemberontakan di Mesir merupakan sejarah mengenai indeks harga. Saya amat bimbang tentang perkara ini," tutur Radwan memetik corak pemerintahan yang diguna pakai sejak tahun 1919. - Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.