Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 7 Mac 2013

Tiga Beradik Derita Dipukul Bapa Tiri

Terdapat kesan lebam di tangan kanak-kanak ini. Foto: Sinar Harian

CHUKAI – Seorang bapa dipercayai tergamak mendera tiga anak tirinya yang masing-masing berusia 9, 8 dan 7 tahun termasuk memukul salah seorang daripadanya dengan sebatang paip besi serta penyapu kayu. 
Gara-gara dipukul dengan objek keras itu, mangsa berusia 9 tahun yang juga murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Chukai mengalami lebam teruk di tangan dan betis kiri dalam kejadian Jumaat lalu. 
Jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian selepas waktu Asar itu, dia melihat mangsa melintasi rumahnya. 
“Mangsa berlari dengan tangannya berdarah tetapi apabila bapa tirinya memanggilnya pulang, dia pulang semula ke rumah dan selepas itu saya terdengar raungan yang sangat kuat,” katanya. 
Menurutnya, ada orang yang melihat kanak-kanak itu dipukul dengan besi dan kayu, sementara adik perempuannya yang berumur 8 tahun dan adik lelakinya dilempang di muka. 
Katanya, tidak tahan melihat tiga beradik itu diperlakukan begitu, dia segera menghubungi polis kira-kira jam 7.30 petang dan melaporkan kejadian yang berlaku. 
Ketiga beradik itu tinggal di rumah terbabit di Kampung Tuan dekat sini, bersama ibu kandung yang berusia 30-an dan bapa tiri berumur lingkungan 20-an. 
Mereka turut mempunyai dua lagi adik-beradik tiri, yang masing-masing berumur 4 tahun dan 5 bulan, hasil perkongsian hidup ibu mereka dengan lelaki terbabit. 
Difahamkan, mangsa yang berusia 7 tahun tidak bersekolah dan hanya kedua kakaknya sahaja yang bersekolah di SK Chukai. 
Menurutnya, ketiga-tiga beradik itu sering didera sebelum ini termasuk tidak diberi makan. 
“Ketika beri mangsa yang berumur 9 tahun makan, saya lihat tangannya penuh dengan kesan parut. 
Sudah lama saya bertahan, tetapi kejadian Jumaat lalu buat saya benar-benar nekad untuk buat laporan polis,” katanya. 
Berikutan laporan polis berkenaan, suspek ditangkap kelmarin, sementara kedua-dua beradik perempuan itu dimasukkan ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan. 
Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Chukai, Rosli Ahmad bersama guru sekolah terbabit turut meluangkan masa menziarahi adik-beradik itu, tengah hari semalam. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.