Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Ahad, 10 November 2013

Pegawai Jabatan Agama Islam Pahang Ditembak Mati

Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abdul Malek ditembak mati di hadapan rumahnya

Jenazah Raflie Abdul Malik dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat. Foto: Bernama

KUANTAN - Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abdul Malek maut terkena dua das tembakan yang dilepaskan seorang lelaki yang tidak dikenali di hadapan rumahnya di Indera Mahkota 2, di sini, kira-kira jam 1.55 petang tadi. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Zakaria Ahmad berkata, sebelum kejadian mangsa yang berusia 49 tahun sedang berehat di dalam rumah bersama isteri dan anaknya. 
"Siasatan awal mendapati sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna putih berhenti di hadapan rumahnya sebelum seorang lelaki yang memakai jubah berwarna hitam serta berkopiah putih berusia dalam lingkungan 50-an keluar dan memanggilnya. 
"Sebaik mangsa menghampiri suspek, seorang lagi suspek berusia 30-an yang berada di bahagian tempat duduk belakang keluar lalu melepaskan tiga das tembakan dan terus melarikan diri," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini. 
Menurutnya, dua das tembakan yang dilepaskan mengenai bahagian dada kanan mangsa menyebabkannya mati di tempat kejadian. 
Zakaria berkata pihaknya percaya kejadian itu mempunyai motif kerana ia berlaku dalam masa yang singkat iaitu kurang dari satu minit. 
"Suspek dipercayai berlegar-legar di kawasan perumahan mangsa beberapa kali sebelum bertindak berhenti di hadapan rumah mangsa. 
"Bagaimanapun kita masih lagi menyiasat motif kejadian sama ada ia berkaitan dengan tugas mangsa sebagai ketua penguatkuasa," katanya. 
Siasatan dilakukan di bawak Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - myMetro

Senior Asisten Komisioner Zakaria Ahmad. Foto: Sinar Harian


KUANTAN - Polis mengesahkan kematian Ketua Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Mohd Raffli Ab Malik, yang ditembak di rumahnya tengah hari tadi, bermotifkan bunuh. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Zakaria Ahmad berkata, semasa kejadian pada 1.55 tengah hari itu, mangsa yang berumur 49 tahun sedang berehat bersama isteri dan seorang anaknya di ruang tamu. 
Beliau berkata sebelum itu, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50an yang berjubah hitam dan berkopiah putih, yang tiba di rumah Mohd Raffli dengan sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna putih, telah memanggil mangsa keluar dari rumahnya. 
"Semasa keluar dari rumahnya, seorang lagi suspek berumur dalam lingkungan 30an meluru dari tempat duduk belakang kereta dan melepaskan tiga das tembakan ke arahnya," kata beliau kepada pemberita di rumah mangsa di Indera Mahkota di sini, hari ini. 
Zakaria berkata dua daripada tiga das tembakan itu mengenai dada Mohd Raffli manakala satu lagi tembakan tersasar menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian. 
"Polis percaya suspek yang menaiki kereta itu telah berlegar-legar di kawasan rumah mangsa berdasarkan faktor suspek hanya mengambil masa seminit untuk membunuh mangsa," katanya. 
Zakaria berkata polis menyiasat kes itu dari pelbagai sudut termasuk motif lain. - Bernama

Isteri Mohd. Raffli, Rosmawani Abdul Wahab, 41, menitiskan air mata. Foto: Bernama

KUANTAN - "Abang gantunglah langsir," itu kata-kata terakhir Rosmahawani Abd Wahab, 41, isteri Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Mohd Raffli Abdul Malek kepada arwah sebelum suaminya mati akibat terkena tiga das tembakan di rumah mereka di Indera Mahkota 2 dekat sini hari ini. 
Mohd Raffli, 49, meninggalkan seorang isteri dan empat anak iaitu Mohd Asyraff, 22, Mohd Abrar, 20, Mohd Amin, 15, dan Mohd Akashah, 12. 
Menurut Rosmahawani, ketika kejadian mereka berdua sedang melakukan kerja-kerja rumah dan beliau menyuruh arwah menggantung langsir sebelum Mohd Amin memaklumkan ada orang ingin berjumpa bapanya di luar rumah. 
"Anak saya ketika itu dekat luar, kemudian memberitahu, ada orang nak jumpa Abah, Ustaz (Mohd Raffli) yang sedang menggantung langsir kemudian keluar untuk menemui orang tersebut. 
"Saya dengar orang beri salam dan sempat mendengar Ustaz berkata kepada orang yang ditemuinya itu, 'tak nak masuk rumah dulu ke,' sebelum terdengar bunyi dua das tembakan dan anak saya menjerit, 'Abah kena tembak, Allahuakbar!" katanya ketika mengimbas kembali kejadian itu kepada pemberita di rumahnya hari ini. 
Dalam kejadian itu, mangsa ditembak seorang daripada tiga suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Wira Aeroback putih. 
Ketika ditanya sama ada arwah pernah menerima ancaman atau ugutan daripada pihak tertentu yang mempunyai kaitan dengan tugas beliau sebagai penguatkuasa JAIP, Rosmahawani berkata setakat dalam pengetahuannya, Mohd Raffli tidak pernah mendapat sebarang ugutan atau ancaman daripada sesiapa. 
"Malah saya dah tanya anak buah beliau sama ada arwah pernah menerima ugutan tetapi merekapun berkata tidak ada," kata suri rumah itu. 
Ditanya sama ada beliau atau arwah mengenali suspek, Rosmahawani menjawab tidak namun memaklumkan dia perasan kereta yang dinaiki suspek sering berlegar-legar di kawasan perumahan mereka dua tiga hari kebelakangan ini. 
Dalam pada itu, kes berkenaan mendapat perhatian Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, yang sudi mencemar duli melawat keluarga mangsa di sini lewat petang tadi. 
Mohd Raffli, 49, dipercayai sedang mengendali tiga kes besar berkaitan jenayah syariah di Pahang iaitu ajaran sesat Tuhan Harun, gerakan Syiah dan operasi kelab malam. - Bernama

Jenazah Allahyarham Ahmad Rafli selamat dikebumikan. Foto: myMetro


KUALA LUMPUR - Polis semalam memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abdul Malik, 49, di Indera Mahkota 2, Kuantan yang mati ditembak kelmarin mempunyai kaitan dengan kumpulan Syiah atau ajaran sesat bergelar Tuhan Harun yang mahu membalas dendam. 
Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menggesa 31 pengikut Tuhan Harun yang masih bersembunyi supaya menyerah diri bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam tersebut. 
"Siasatan akan diadakan secara menyeluruh, berkemungkinan ia ada kaitan dengan kumpulan Syiah atau ajaran sesat Tuhan Harun yang mahu membalas dendam," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah Dari Perspektif Islam di Maktab Polis Cheras di sini semalam. - Kosmo! Online

Lakaran wajah suspek yang diedarkan oleh polis. Sumber: Berita Harian


KUALA LUMPUR - Polis hari ini telah mengedarkan lakaran wajah lelaki yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes bunuh Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abdul Malik, 49, kelmarin. 
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, lakaran wajah itu turut akan diedarkan di tempat-tempat awam bagi memudah orang ramai menyalurkan maklumat. 
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superitendan Zukri Muhammad di talian 013-9764999 atau Ibupejabat Polis Daerah Kuantan di talian 09-5652222 atau talian hotline 09-5142999 atau mana-mana balai polis berhampiran. 
Diskripsi Suspek:
Susuk tubuh : Sasa
Warna kulit : Sawo matang
Warna rambut : Beruban
Bulu kening : Halus
Hidung : Sederhana
Bangsa : Melayu
Mulut : Nipis
Warna misai : Beruban
Umur : Lingkungan 55 tahun
Jantina : Lelaki
Ketinggian : 170
-Kosmo! Online 12.11.2013

 
Allahyarham Ahmad Rafli bersama isteri dan anak-anak

Jenazah Ahmad Rafli selepas ditembak dari jarak dekat

Keadaan di hadapan rumah Allahyarham semasa kejadian


KUANTAN - Polis yakin dapat mengesan mereka yang terbabit membunuh Ketua Penolong Pengarah Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahad lalu selepas memperoleh banyak petunjuk, termasuk maklumat daripada laman sosial. 
Antaranya ialah daripada Facebook dan laman blog yang ada kaitan dengan mereka yang disyaki terbabit menembak Ahmad Rafli, di rumahnya di Indera Mahkota 2, di sini. 
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani, berkata setakat ini, polis telah mengambil keterangan beberapa pihak selain memantau maklumat yang disebarkan dalam laman sosial. 
“Kita ambil kira semua maklumat walaupun ada antaranya nampak kecil seperti Facebook dan blog tetapi turut berperanan membantu menyelesaikan siasatan kes ini,” katanya pada sidang media dan mengedarkan lakaran wajah seorang daripada suspek, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini semalam. 
Lakaran membabitkan suspek berbangsa Melayu, bertubuh sasa, berkulit sawo matang, rambut dan misai beruban serta berusia lingkungan 55 tahun. 
“Ia adalah lakaran wajah suspek yang datang ke rumah mangsa dan memberi salam sebelum seorang lagi melepaskan tembakan. Lakaran ini 70 peratus tepat berdasarkan maklumat yang kita kumpul sehingga kini. 
“Lakaran kita edarkan kepada ketua komuniti bagi membantu meluaskan rangkaian maklumat dan yakin dapat membantu mempercepatkan penyelesaian kes,” katanya. 
Ditanya dakwaan kononnya ternampak kereta suspek di kawasan Pekan, Sharifuddin berkata, ia tidak benar dan polis masih mengumpul maklumat untuk mengesan lokasi suspek. 
Beliau berkata, polis tidak mengetepikan banyak kemungkinan termasuk kes mempunyai kaitan dengan ajaran sesat Tuhan Harun yang dikendalikan mangsa. 
“Kita siasat semua sudut termasuk peribadi dan penguatkuasaan yang dilaksanakan mangsa. 
“Bagaimanapun, mangsa tidak pernah membuat laporan polis berkaitan sebarang ugutan,” katanya. 
Dalam kejadian pada jam 1.50 tengah hari Ahad lalu, Ahmad, 49, meninggal dunia di depan rumahnya selepas terkena dua daripada tiga das tembakan dilepaskan suspek yang datang ke rumahnya. 
Sebelum kejadian sebuah kereta dinaiki tiga lelaki berhenti di hadapan rumahnya dan seorang lelaki memakai kopiah putih memberi salam kepada mangsa sebelum rakannya di tempat duduk belakang meluru serta melepaskan tembakan ke arah mangsa. - Berita Harian 13.11.2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.