Ahad, 30 September 2012

Akibat Memohon Kejayaan Dunia

Gambar hiasan.


Lebai Suhud didatangi oleh seorang ibu. Ibu itu minta Lebai Suhud mendoakan anak lelakinya supaya lulus peperiksaan Senior Cambridge dan dapat melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Tetapi ibu itu hampir kecewa apabila Lebai Suhud membentak keras di hadapannya. Tidak patut Lebai Suhud marah ikut perasaan. 
“Awak nak anak awak masuk neraka ke?” 
Tersinggung ibu itu dengan sikap guru agama yang selama ini dihormatinya. Mana mungkin Lebai Suhud dapat menentukan sama ada anaknya masuk syurga atau neraka. Bukankah hanya Allah sahaja yang maha mengetahui? 
Hanya orang sempit fikiran sahaja yang menganggap belajar di sekolah Inggeris boleh masuk neraka. Sebab itu dia tidak percaya orang warak macam Lebai Suhud boleh berfikiran sedemikian. Tapi kali ini orang tua itu sendiri yang mengejeknya. Lebai Suhud macam tidak bersetuju anaknya melanjutkan pelajaran ke luar negeri. 
Sedangkan sudah beberapa kali Lebai Suhud memberitahu orang kampong supaya menghantar anak-anak mereka belajar sampai ke luar negeri. 
“Takkanlah belajar ke luar negeri boleh masuk neraka tuan haji,” desak ibu itu agar Lebai Suhud doakan juga. 
Lama Lebai Suhud terdiam. Kemudian dengan suara lemah dia berkata, “kalau macam tu kemahuan awak, sama-samalah kita berdoa.” 
“Macam mana nak buat tuan haji?” 
“Suruhlah anak awak tu ke mari,” ujar Lebai Suhud pendek semacam menanggung kebimbangan. 
“Biar dia sama-sama bangun sembahyang tahajud tengah malam di surau ni,” tambah Lebai Suhud dalam keadaan serba salah. 
Selepas lulus peperiksaan Senior Cambridge, dapatlah juga anak perempuan itu melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Tetapi Lebai Suhud percaya kejayaan budak itu adalah kerana usaha budak itu sendiri. Agak lama juga budak berkenaan belajar di luar negeri sehingga lulus mendapat ijazah. 
Namun apabila pulang ke tanah air, ibu berkenaan terkejut pula apabila melihat anaknya berkepit dengan perempuan mat salleh semasa tiba di lapangan terbang. Walau pun anaknya memperkenalkan perempuan itu sebagai isterinya, namun ibu berkenaan tetap rasa tidak berkenan. 
Anaknya kemudian memegang jawatan tinggi di kota. Bukan main bangga ibu itu bercerita kepada orang kampong.
Gambar hiasan
Namun ibu itu rasa kurang senang apabila datang berkunjung ke rumah anaknya di kota. Dia amat tidak berkenan dengan perbuatan menantunya yang gemar berpakaian menjolok mata. Dia juga merasa sedih melihat botol-botol arak tersusun di atas rak di ruang tamu. Selama ibu itu di rumah anaknya, dia juga tidak pernah melihat anaknya mendirikan solat. 
Setelah melihat perubahan anaknya, ibu itu datang lagi menemui Lebai Suhud. Teresak-esak ibu itu menceritakan tentang anaknya yang kini banyak menghabiskan masa dengan melakukan maksiat. Segala teguran ibu itu tidak diendahkan oleh anaknya. 
“Tolonglah tuan haji, doakan supaya anak saya ingatkan Allah,” rayu ibu itu dengan rasa hiba. 
“Kejayaan dunia kalau dikejar begitulah jadinya,” ujar Lebai Suhud lemah.


Dipetik dari siri cerita Tok Awang Ngah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.