Rabu, 31 Oktober 2012

3.1 Juta Jemaah Haji Selesai Laksana Ibadah

Sebahagian jemaah haji mengerjakan tawaf perpisahan kelmarin.
MEKAH - Seramai 3.1 juta jemaah selesai menyempurnakan ibadah haji pada hari terakhir di sini semalam tanpa berlaku sebarang insiden besar. 
Pihak berkuasa Arab Saudi menganggap musim haji tahun ini sebagai antara yang paling berjaya. 
Mereka turut mengucapkan tahniah kepada para jemaah walaupun terdapat sejumlah daripada mereka memasuki kota suci ini tanpa permit yang sah. 
"Semuanya berjalan begitu baik," kata Gabenor Mekah, Putera Khaled Al-Faisal kepada pemberita. 
Menurut beberapa pegawai, sekitar 120,000 anggota polis bersama pegawai kesihatan telah dikerahkan mengawasi perjalanan haji selama lima hari. 
Kumpulan terakhir jemaah haji melontar jamrah semalam di Mina. 
Mereka kemudian menuju ke kota suci ini untuk melakukan tawaf widak sebelum meninggalkan Arab Saudi untuk pulang ke negara masing-masing. AFP 
Kosmo! Online 30.10.2012
_______________________________________________________________________

Syukur kepada Allah kerana suasana haji pada tahun ini berjalan dengan lancar. Kita tidak mendengar insiden yang tidak diingini berlaku pada musim haji kali ini. Jemaah haji juga dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna, terutama semasa melontar di jamrah.
Masalah di jamrah ini pada masa lalu biasanya berpunca daripada sikap kasar dan agresif jemaah haji dari Pakistan, India dan Afrika. Dalam keadaan mereka terlalu obses hendak melontar 'syaitan', mereka tidak menghiraukan keselamatan jemaah haji dari negara lain.
Akibatnya, batu yang sepatutnya digunakan melontar 'syaitan' akhirnya terkena di kepala jemaah haji yang lain. Demikian juga, jika ada jemaah yang rebah, mereka akan dipijak oleh jemaah yang berebut-rebut dan himpit menghimpit itu.
Bagaimanapun syukurlah, masalah di jamrah telah diselesaikan dengan penambahbaikan dan pengubahansuaian tempat berkenaan. Tahniah kepada pihak berkuasa Arab Saudi kerana telah berjaya menguruskan musim haji pada tahun ini dengan jayanya. Semoga sistem pengurusan haji akan semakin bertambah baik dari tahun ke tahun.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.