Rabu, 31 Oktober 2012

Syria: Tentera Gempur Orang Awam

Pemandangan di sebuah kawasan awam di Damsyik yang dibedil oleh pihak tentera
DAMSYIK - Beberapa letupan menggegarkan bandar raya ini semalam selepas jet-jet pejuang rejim Presiden Bashar Al-Assad melancarkan serangan udara paling besar sejak Mac tahun lalu.
Seorang wartawan agensi berita AFP berbata, serangan kali ini menyebabkan tingkap-tingkap bangunan di pusat bandar di sini bergegar. 
Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia memberitahu, tentera Bashar melancarkan sekurang-kurangnya 48 serangan udara di seluruh negara semalam. 
Menurut kumpulan pemerhati tersebut, lebih 400 orang terbunuh sejak Hari Raya Aidiladha termasuk 35 orang semalam. 
Rakyat Syria bangkit menentang rejim Bashar kerana menuntut kebebasan dan pemerintahan demokrasi dengan penentangan tersebut mengorbankan lebih 35,000 nyawa setakat ini. 
Agensi - Kosmo! Online 30.10.2012
_______________________________________________________________________

Tentera dan polis adalah pihak yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara. Kedua-duanya dibiayai oleh dana kerajaan. Maknanya, sumber pembiayaan tentera datang dari cukai dan hasil negara. Dalam perkataan lain, wang rakyat.
Tugas tentera sepatutnya mempertahankan negara daripada ancaman musuh dari luar. Manakala tugas polis pula ialah menjaga keamanan dalam negeri dan menjadi penguatkuasa undang-undang negara. Maknanya, kedua-dua instrumen kerajaan itu sepatutnya melindung rakyat.
Malangnya, di negara dunia ketiga, tentera dan polis selalu digunakan untuk mengekang kebebasan rakyat. Lebih menyedihkan, mereka sanggup membunuh rakyat sendiri. Manakala yang dipertahankan ialah pemimpin, bukan negara. Lebih menyedihkan, pemimpin yang dipertahankan itu ialah pemimpin yang tidak popular kerana terlibat dengan rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan.
Tidak menghairankanlah selepas ini nanti, jika pemimpin berkenaan jatuh dari tampuk kekuasaan, dia akan diseret di jalan raya sebagaimana yang berlaku kepada Muamar Ghadafi di Libya dahulu. Semoga perkara seperti ini tidak akan berlaku di Malaysia pada masa yang akan datang. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.