Jangan Beri Gambaran Salah Tentang Nabi S.A.W.
|
Dr MAZA |
Oleh: Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Pensyarah Pengajian Islam Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza menyeru umat Islam agar tidak memberikan gambaran yang salah tentang Nabi Muhamad S.A.W.
Beliau berkata, ramai orang Islam sayangkan Nabi S.A.W. Namun terdapat di antara mereka yang mencemarkan kisah kehidupan baginda kerana jahil atau kerana kepentingan peribadi.
Menurut beliau, bagi umat Islam yang jahil, mereka tidak dapat membezakan antara riwayat hidup yang sahih dengan yang palsu. Lantas mereka menyebarkan hadis-hadis palsu yang dikaitkan dengan baginda.
Bagi yang berkepentingan pula, mereka menyebarkan hadis-hadis yang mempunyai hubungan dengan kepentingan mereka. Jika mereka ada kepentingan politik, maka Nabi S.A.W. akan digambarkan sebagai ahli politik mirip mereka. Baginda digambarkan berpolitik dalam semua perkara.
Manakala bagi mereka yang mempunyai kepentingan ekonomi, maka Nabi S.A.W. digambarkan mencari harta. Justeru, kisah baginda dipergunakan dalam kempen barangan yang mereka jual.
Bagi yang bersifat keras pula, Nabi S.A.W. digambarkan bersifat keras seperti mereka. Sementara bagi mereka yang sentiasa tewas, Nabi S.A.W. digambarkan sentiasa mengalah. Bagi yang mengampu pemerintah, mereka akan mencari hadis-hadis nabi bagi mengizinkan segala kekejaman rejim kononnya atas nama agama dan salafussoleh. Manakala bagi yang menentang pemerintah, mereka mencari dalil bagi menghalalkan tindakan mereka walaupun melampaui batasan Islam.
Selain itu, terdapat juga yang mendakwa jenis pakaian yang mereka pakai adalah jenis pakaian yang dipakai oleh Nabi S.A.W. Padahal menurut Dr Mohd Asri, baginda terlibat dengan pelbagai urusan umat. Baginda memakai pakaian biasa, baju besi, jubah Roman, jubah Yaman dan sebagainya, berdasarkan keperluan semasa.
Dr Maza mengingatkan beberapa perkara tentang Nabi S.A.W. Baginda bukan sekadar penceramah tetapi menguruskan hal umat dan perjalanan hidup mereka. Baginda merupakan pemimpin kerohanian, akhlak, politik, perang dan sebagainya.
Catatan asal Dr Maza boleh dibaca di Minda Tajdid di alamat http://drmaza.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.