Isnin, 8 Oktober 2012

Lain Dulu Lain Sekarang

Usahawan yang berjaya. Foto hiasan.

Saya merasa sedih apabila membaca kisah hidup seorang juruteknik bernama Shah, yang disiarkan dalam akhbar Kosmo semalam. Kehidupan Shah dan keluarganya dilaporkan menjadi sempit selepas Shah menjalankan perniagaan. 
Sebelum berniaga, gaji Shah cukup untuk menyara isteri dan anak kecilnya. Namun, didorong oleh keinginan hendak menambahkan pendapatan, Shah bersama isterinya telah menjalankan perniagaan menjual kuih dengan membuat pinjaman ah long untuk modal. 
Seperti yang kita sedia maklum, bunga yang dikenakan oleh ah long agak tinggi. Maka apabila perniagaan Shah tidak mendapat sambutan dan Shah gagal melunaskan bayaran balik mengikut jadual, maka hutang Shah telah meningkat menjadi RM80,000! 
Disebabkan kad ATM Shah dipegang oleh ah long dan kesemua wang gajinya 'diambil' oleh ah long sebagai bayaran hutang, maka Shah terpaksa melakukan kerja sampingan sebagai pemandu teksi di sekitar Kuala Lumpur untuk menyara diri dan keluarganya. 
Saya teringat akan kisah seorang wak Indon yang datang ke negara ini pada tahun 1960-an. Wak Indon ini telah meminjam wang RM50 daripada datuk saya untuk modal membuka gerai menjual makanan. Tetapi perniagaan Wak Indon kemudiannya berkembang maju menjadi restoran. Bagaimanapun Wak Indon hanya membayar balik RM50 sahaja kerana datuk saya bukan ah long. 
Seingat saya, datuk saya juga tidak pernah mengungkit-ungkit pertolongannya kepada Wak Indon. Saya hanya mengetahui kisah Wak Indon setelah bertanya mengapa Wak Indon itu begitu baik hati terhadap keluarga saya. Wak Indon kembali ke negara asalnya pada awal tahun 1980-an setelah menjadi kaya raya. Kedua-dua, datuk saya dan Wak Indon telah lama meninggal dunia.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.