Isnin, 8 Oktober 2012

Pilihan Raya Presiden Venezuela: Chavez Menang

Hugo Chavez.
Agensi berita AFP melaporkan dari Caracas bahawa Hugo Chavez telah memenangi Pilihan Raya Presiden Venezuela yang baru diadakan setelah mengalahkan Capriles Radonski, calon parti pembangkang dengan undi 54.42 peratus.  Chavez telah berkuasa hampir 14 tahun. Dengan kemenangan ini, Chavez akan memegang jawatan presiden untuk tempoh enam tahun lagi. 
Chavez dalam kempen pilih raya baru-baru ini berjanji akan meningkatkan pemilikan harta oleh rakyat biasa, menambah peruntukan perbelanjaan awam, meningkatkan program kebajikan, menaikkan cukai ke atas golongan kaya, mengekalkan perubatan percuma dan pendidikan percuma jika dipilih semula. 
Manakala Radonski mencadangkan penswastaan, menghentikan program kebajikan yang tidak menguntungkan, memperkenalkan dasar ekonomi terbuka, mengurangkan peruntukan perbelanjaan sosial dan lain-lain, jika beliau memenangi pilihan raya. 
Chavez diingati sebagai seorang pemimpin Amerika Latin yang tidak sehaluan dengan pentadbiran Amerika Syarikat. Bagaimanapun tahap kesihatan Chavez masih menjadi teka teki dan keupayaan beliau untuk meneruskan pemerintahan juga kurang diketahui.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.