Rabu, 24 Oktober 2012

Meteorit Jadi Batu Penyendal Pintu

PROFESOR fizik dan astronomi di Universiti Eastern Kentucky, Rodney Piercey memeriksa meteorit yang ditemui pada tahun 1853.

TENNESSEE - Sebuah keluarga di Amerika Syarikat terkejut apabila mendapati seketul batu milik mereka sebenarnya seketul meteorit atau tahi bintang berusia empat bilion tahun, lapor akhbar MailOnline semalam. 
Pasukan penyelidik Universiti Tennessee memperoleh meteorit seberat 15 kilogram itu daripada keluarga Donna Lewis di sini yang menggunakannya sebagai penyendal pintu dan pelapik pokok bunga hiasan sejak beberapa tahun lalu. 
Pada mulanya, batu itu ditemui di sebuah padang ragut ternakan dekat Tazewell, Tennessee, pada tahun 1930-an oleh seorang lelaki, Tilmon Brooks. 
Brooks ialah datuk Donna Lewis yang merupakan seorang setiausaha sekolah di Pineville, Kentucky. 
Ujian yang dilakukan di Universiti Tennessee merumuskan bahawa meteorit itu berasal daripada hujan meteor yang pernah berlaku di sini pada 1853. - Agensi - Kosmo Online 23.10.2012.
_______________________________________________________________________

Kalaulah batu meteorit ini jatuh di Malaysia dan ditemui di sini, sudah tentu ceritanya jadi lain. Mungkin orang yang menjumpainya akan mengalami berbagai mimpi aneh. Kemudian, batu berkenaan mungkin akan dibawa kepada bomoh atau dukun untuk ditilik.
Manakala bomoh atau dukun pula mungkin akan mengatakan batu itu mistik dan mesti dimuliakan. Akhirnya, timbul berbagai kepercayaan kurafat di kalangan masyarakat, terutama di kalangan pengamal dan peminat ilmu kebatinan.
Namun, disebabkan batu meteorit itu jatuh di Amerika Syarikat, maka sejak ditemui kira-kira 80 tahun yang lalu, ia hanya dijadikan penyendal pintu! Kasihan meteorit itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.