Khamis, 25 Oktober 2012

Penemuan Di Planet Marikh

GAMBAR yang dirakamkan pada 15 Oktober lalu menunjukkan satu objek kecil berwarna cerah di planet Marikh.
LOS ANGELES - Kenderaan robotik Curiosity menemui satu objek kecil yang berwarna cerah di sebuah kawasan di planet Marikh, kata Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) kelmarin. 
Saiz objek tersebut hanya satu milimeter dan ditemui selepas kenderaan robotik milik NASA itu menggunakan peralatan penggalian. 
Seorang saintis projek Marikh, John Grotzinger berkata, para penyelidik pada mulanya menyangka objek tersebut berasal dari kenderaan robotik itu. 
Bagaimanapun, para saintis berpendapat objek itu mungkin sebahagian daripada kandungan yang terdapat di dalam tanah planet berkenaan. 
Objek tersebut mungkin sejenis mineral. 
Pada minggu lalu, NASA menyatakan satu lagi objek berwarna cerah yang turut ditemui Curiosity di planet Marikh sebenarnya serpihan plastik. 
Menurut NASA, plastik tersebut mungkin jatuh dari kenderaan robotik itu. 
Curiosity melakukan misi penerokaan di Marikh selepas ia tiba di planet tersebut pada 6 Ogos lalu. 
Misi penerokaan selama dua tahun itu melibatkan kos sebanyak AS$2.5 bilion (RM7.62 bilion) - Agensi - Kosmo 20.10.2012.
_______________________________________________________________________


Lucu juga apabila objek berwarna cerah yang ditemui oleh kenderaan robotik berkenaan adalah serpihan plastik yang jatuh dari kenderaan robotik itu sendiri. Manakala penemuan objek cerah bersaiz 1 milimeter itu tidaklah membuat hati teruja! Maklumlah, sejak sekian lama cerita-cerita sains fiksyen sering mengaitkan planet Marikh dengan makhluk asing atau alien.
Perbelanjaan untuk misi ini berjumlah AS$2.5 bilion atau RM7.62 bilion, namun, masih belum ada penemuan yang bermakna dilaporkan setakat ini.
Sekarang orang nak tahu: sama ada betul atau tidak di planet Marikh tu ada alien.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.