Ahad, 4 November 2012

Lipan Bara Di Bawah Mayat

Gambar hiasan. Kredit halimrahman.com

Semasa hujan lebat turun petang itu, Tok Aji baru selesai menunaikan solat Asar. Saya ikut berjemaah dengan dua orang kawan saya di belakang Tok Aji di madrasahnya. Disebabkan hujan turun dengan lebat, Tok Aji tidak terus balik ke rumahnya yang terletak di sebelah madrasah tersebut.
Tok Aji berbaring saja di tengah madrasah sambil melanggung tangan ke kepala. Ketika ini saya sudah berumur 13 tahun. Saya suka benar berdamping dengan Tok Aji. Dia pula akan bercerita tentang pengalamannya semasa di Sumatera, iaitu kampung halamannya.
Sebab itu apabila melihat Tok Aji melelapkan mata, saya sengaja mengusiknya supaya dia tidak terlelap.
"Tok, tok tidur ke?" tanya saya menepuk-nepuk lututnya.
"Tak, atuk nak baring aje," sahutnya perlahan tanpa membuka mata.
"His, atuk bohong, atuk tidur bersenar," saya sengaja mengusiknya.
Dia tersengih-sengih sahaja, tanpa mengangkat tangannya yang terlanggung di kepala. Memang Tok Aji kelihatan seperti orang tidur kerana bersenar. Bagaimanapun dia masih boleh berbual-bual dengan saya.
Dalam masa saya mengusik-ngusik  Tok Aji itu, Mail Lembam datang berpayungkan daun pisang memanggil Tok Aji. Cepat-cepat saya ke pintu madrasah bertanya Mail Lembam maksud kedatangannya. Dia kelihatan basah meskipun berpayungkan daun pisang. 
"Ada apa Pak Mail?" tanya saya berdiri di pintu madrasah. 
"Mana Atuk kau?" dia pula bertanya sambil terketar-ketar menahan kesejukan. 
"Dia tidur di dalam," jawab saya. 
"Tolong panggilkan Atuk kau, katakan Mak Endut dah nazak," katanya menyuruh saya segera membangunkan Tok Aji. 
Saya mengangguk. Mak Endut itu pangkat emak saudara kepada saya dan kakak kepada Mail Lembam. Belum sempat saya berpaling untuk memanggil Tok Aji, dia sudah berdiri di belakang saya sambil terkuap-kuap. 
"Hah, apa halnya Mail?" tanya Tok Aji mengeliat-ngeliat. 
"Kak Endut, Bang Aji..." ujar Mail Lembam terketar-ketar kesejukan. 
"Tak apa, mari kita pergi sekarang ni," sahut Tok Aji dengan tidak mendengar lagi penjelasan lanjut Mail Lembam. 
Mail Lembam berundur sedikit ke belakang sambil menghulurkan daun pisang kepada Tok Aji untuk digunakan sebagai payung. Tetapi Tok Aji tidak mahu mengambilnya. Dia terus turun berjalan di tengah-tengah hujan dengan tidak berpayung. 
Setelah Tok Aji pergi bersama Mail Lembam, saya balik semula ke tengah madrasah. Alangkah terkejutnya saya, kerana Tok Aji masih lagi tidur dengan tangannya terlanggung di kepala seperti tadi juga. 
"Atuk, mengapa tidur?" soal saya tertanya-tanya siapakah yang tidur itu. 
"Ah, dia minta Atuk bacakan Yassin aje," sahutnya tersenyum. 
"Kau tak payah tanya apa-apa, nanti lain kali kau tau juga," dia menasihatkan saya supaya jangan meragui dirinya yang sedang tidur itu.
Selepas hujan reda kira-kira setengah jam kemudian, nenek saya naik ke madrasah. Sebaik dia melihat atuk terbaring tidur, lantas dia menyuruh saya mandi dan bersiap-siap untuk pergi ke rumah Mak Endut.
"Mak Endut dah tak ada," ujar nenek perlahan. 
Selesai saja saya mandi, saya dapati nenek sudah balik ke rumahnya. Saya dapati Tok Aji sudah bangun dan duduk sambil terkuap-kuap.  
"Mak Endut dah tak ada," saya beritahu dia. 
Tok Aji mengangguk-angguk. Dia tidak berkata apa-apa lantas pergi mandi. Selepas selesai Maghrib, kami bertiga ke rumah Mak Endut. Beberapa orang kawan saya di madrasah, berjanji akan datang selepas Isya. 
Sebaik sampai di rumah Mak Endut, orang sudah ramai berkumpul di situ. Anak-anak Mak Endut seperti Jidah, Suhur dan Indun bergilir-gilir membaca Quran di sisi jenayah. Ayah saya juga sudah sampai. Dia menyuruh orang memasang langit-langit iaitu merentangkan kain batik lepas  setentang dengan jenazah. 
Orang lelaki yang duduk di serambi berbual-bual manakala orang perempuan memasak air di dapur menyediakan hidangan untuk sama-sama berjaga. Kanak-kanak pula disuruh membaca al-Quran. Saya juga disuruh oleh Tok Aji membaca al-Quran berdekatan dengan jenazah. 
Kira-kira jam 9.00 malam, kawan-kawan saya yang sama-sama tidur di madrasah telah datang. Mereka juga membacakan ayat-ayat suci al-Quran. Kak Jidah duduk di hujung kaki jenazah emaknya. Saya lihat dia tidak berhenti-henti membaca al-Quran. Abang Suhur berhenti juga melepaskan lelah, sementara Kak Indun ke dapur membantu saudara-mara yang lain. 
Sekali sekala, saya memandang juga ke serambi sambil memasang telinga. Ada yang bercerita perkara lucu yang boleh menimbulkan gelak ketawa. Mail Lembam pula sentiasa menjadi sasaran kawan-kawannya yang lain. 
Mereka geli hati melihat Mail Lembam basah kuyup ketika menjemput Tok Aji walaupun dia berpayungkan daun pisang. Sedangkan Tok Aji yang tidak berpayung tidak basah langsung. 
Memang mereka semua melihat Tok Aji datang membacakan Yassin di sisi Mak Endut sebelum dia meninggal dunia. Tetapi mereka tidak tahu bahawa Tok Aji ada tidur di madrasah ketika itu. Mungkin mereka semua tidak percaya kalau saya ceritakan hal tersebut.
Tiba-tiba beberapa orang kanak-kanak yang sama-sama membaca Quran dengan saya terhenti bacaan mereka. Manakala Kak Jidah yang tekun membaca Quran sejak petang tadi juga ikut sama melompat lari ke dapur. Saya juga ikut sama lari ke serambi kerana terkejut melihat kawan-kawan saya semuanya lari. 
"Mengapa awak semua ni?" tanya Tok Aji lantas berdiri. Semua orang di serambi juga bangun. Masing-masing menerpa ke pintu menjengah ke dalam. 
Ketika ini jenazah Mak Endut kelihatan bergerak-gerak. Kemudian perlahan-lahan kepalanya terangkat, langsung duduk sehingga kain selubungnya lurut ke pinggang. Hanya kain selendang yang diikatkan ke dagunya sahaja yang tidak terurai. 
Melihat jenayah Mak Endut sudah duduk, semua orang terjun ke tanah. Orang-orang perempuan di dapur juga terjun ke tanah kerana ketakutan. Saya juga turut terjun ke tanah apabila melihat orang-orang yang lebih dewasa daripada saya terjun ke tanah. Memang saya ketakutan melihat jenazah yang sudah dibujurkan tiba-tiba duduk. 
Ketika ini semua orang berlari mengikut orang di hadapan kerana kami tidak berani lari berpecah-pecah. Setelah jauh dari rumah Mak Endut, kami berhenti dan berpaling melihat rumah berkenaan. Pada ketika ini barulah kami sedar bahawa Tok Aji tidak ikut sama berlari. 
Saya lihat ayah saya dan Mail Lembam berpatah balik ke rumah berkenaan kerana Tok Aji tertinggal di sana. Pada sangkaan kami, Tok Aji tidak dapat lari kerana kakinya lumpuh sebelah. Tentulah dia terkial-kial hendak menuruni tangga. 
Melihat ayah saya dan Mail Lembam naik semula ke rumah Mak Endut, orang-orang lain pun jadi berani semula. Mereka semua balik dan naik semula ke rumah berkenaan. Masing-masing yang ketakutan tadi kini sudah dapat mengawal perasaan. 
Rupanya semasa semua orang lari tadi, Tok Aji masuk ke dalam. Dia duduk berhampiran jenazah, sambil menghalakan kedua-dua tapak tangannya ke muka Mak Endut. Matanya merenung tepat-tepat ke muka mayat yang sedang duduk berlunjur. 
Ketika ini, ayah saya mengajak orang lelaki yang lain duduk berzikir dengannya. Ketika orang ramai berzikir, Tok Aji terus menghalakan kedua-dua tangannya ke muka arwah Mak Endut.
"Sekarang kau baring semula, pergi kau mengadap Allah yang menjadikan kau dan semua makhluk" kata Tok Aji bagaikan memerintah. 
Jenazah itu kemudian rebah ke bantal perlahan-lahan, seolah-olah ada orang yang merebahkannya. Kejadian ini memang menghairankan orang-orang yang menyaksikannya pada malam itu. 
"Endut, jangan kau bangun lagi. Kau kepunyaan Allah, bukan kepunyaan kami," Tok Aji menampar-namparkan tapak tangannya ke dahi mayat tiga kali. Kemudian dia menyelubungkan semula jenazah itu. 
Selepas jenazah Mak Endut dibujurkan semula, ayah saya pun berhenti berzikir. Kemudian, dia membaca Yassin dan Quran. Kak Jidah yang tadi tercungap-cungap ketakutan duduk semula di hujung kaki jenazah emaknya. Dia meneruskan semula bacaan Quran. 
Tok Aji menyuruh saya membaca Quran bergilir-gilir dengan kawan-kawan. Walaupun dalam ketakutan, saya membaca juga. Tetapi sekali-sekala saya mengerling juga ke arah jenazah, bimbang kalau-kalau dia bangun semula. 
Namun sampai ke pagi, jenazah itu tidak bangun semula. Terasa juga lega di hati kerana tidak berlaku lagi kejadian buruk selepas itu. 
Setelah hari siang, ayah saya menyuruh Mail Lembam ke tanah perkuburan mengetuai orang menggali kubur. Masing-masing orang dibahagikan tugas mengikut arahan ayah saya kerana Mak Endut itu saudara sepupunya. Mail Lembam, adik Mak Endut juga sudah menyerahkan tanggungjawab menyempurnakan jenazah kakaknya kepada ayah saya. 
Mak Endut meninggal dunia selepas beberapa hari mengidap sakit perut. Suaminya pula sudah lama meninggal dunia, iaitu ketika Kak Jidah anak bungsunya baru turun buayan. Sudah lebih 20 tahun sejak kematian suaminya, Mak Endut menyara anak-anaknya sampailah abang Suhur dan Kak Indun masing-masing berkahwin.

Dia mengambil upah menganyam tikar. Dia juga boleh mengurut dan membidankan ibu-ibu bersalin. Cuma dia tidak melakukannya secara tetap. Sebab itu ramai orang mengatakan tidak mungkin dia menuntut ilmu salah sehingga jenazahnya bangun semula.
"Serahkan urusan Allah kepada Allah, jangan kita ambil tahu sangat," nasihat Tok Aji apabila ada orang bertanya kepadanya mengenai kejadian pada malam berkenaan. 
Memang semua orang mengakui Mak Endut tidak mengamalkan ilmu salah. Lagi pun dia seorang yang taat mengerjakan solat, berbudi bahasa dan tidak menyakitkan hati orang lain. Sebab itu orang tidak percaya dia ada memelihara syaitan, sama ada polong, pelesit atau hantu penanggal. 
"Kita tidak akan mengetahui rahsia Allah, kerana Allah mengetahui yang zahir dan yang batin, yang lahir dan yang tersembunyi," Tok Aji mengingatkan orang-orang yang tidak berpuashati dengan kejadian pada malam berkenaan. 
Kira-kira jam 12.00 tengah hari, orang-orang yang menggali kubur memberitahu bahawa kubur sudah disiapkan. Maka ayah saya pun menyuruh jenazah dimandikan. Ketika itu kami terpaksa mengangkat air dari telaga dan ditampung di dalam pasu dan besen besar. 
Nenek saya ditugaskan menjadi ketua memandikan jenazah, kerana jenazah perempuan. Namun sebaik jenazah hendak diangkat ke tempat pemandian di pelataran, sekali lagi orang memekik terkejut kerana ada beratus-ratus ekor lipan bara di bawah jenazah. 
"Ya Allah, lindungilah hamba-Mu ini," keluh Tok Aji sambil menampung kedua-dua belah tangannya. 
Tidak seekor lipan pun mahu lari, walaupun kain penutup mayat sudah dilingkupkan. Lipan-lipan itu kelihatan merayap dan ada juga yang menggigit jenazah. Ayah saya kelihatan marah dengan kejadian tersebut. Tetapi Tok Aji tenang sahaja. Wajahnya tetap jernih. 
"Ya Allah, sekiranya hamba-Mu ini bersalah, ampunkanlah dia. Sekiranya hamba-Mu ini dianiaya, maka lepaskanlah dia daripada aniaya itu. Kepada Engkaulah kami memohon perlindungan dan kepada Engkaulah kami memohon pertolongan," kata Tok Aji perlahan. Kelihatan air mata tergenang di pelupuk matanya. 
Selepas Tok Aji berdoa, dia menyuruh ayah saya membawa air mandi ke situ. "Kita mandikan saja jenazah ni di sini," ujarnya. 
Mereka semua tidak membantah. Semua air yang sudah ditampung diangkat ke dalam.  Tok Aji sendiri memandikan jenazah bersama nenek. Tok Aji menyelubungkan jenazah sebelum disiram dengan air. Tujuh kali Tok Aji menyimbah air, orang ramai melihat asap berkepul-kepul naik ke udara. 
Apabila kain selubung dibuka, kami melihat bara merah di bawah jenazah Mak Endut terpadam disirami air. Lipan-lipan yang berkeliaran tadi sudah bertukar menjadi arang. Tetapi tidak ada siapapun berani bertanya kepada Tok Aji, sebab dia sudah berpesan sebelum itu supaya jangan bertanya apa-apa.
Walau bagaimanapun, wajah Mak Endut kelihatan bersih seperti orang yang sedang tidur. Belakangnya yang digigit oleh lipan beratus-ratus ekor tadi juga tidak kelihatan bekas gigitannya. 
"Apa agaknya masalah ni ayah?" tanya ayah saya kerana dia seorang sajalah yang berani bertanya. 
"Urusan kau jaga sendiri, jangan urusan Allah yang kau nak jaga," ujar Tok Aji mengingatkannya. 
Terdiam ayah saya apabila mendengar Tok Aji berkata begitu. Orang lain juga tidak berani bertanya setelah mendengar Tok Aji menegur ayah saya. 
Sampailah jenazah selamat dimandikan, tidak ada apa-apa kejadian ganjil berlaku. Ketika jenazah dikapankan pun tidak ada gangguan berlaku. Jenazah Mak Endut kemudian dibawa ke tanah perkuburkan dan selamat dikebumikan tanpa sebarang kejadian pelik. 

Sedutan cerita dari buku Berkelahi Dengan Syaitan Siri Ke-3, karya Tok Awang Ngah. 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.