Isnin, 5 November 2012

Menjelang Pilihan Raya Presiden AS Esok

Bill Clinton dan Obama dalam satu kempen pilihan raya di Bristow, Virginia semalam

WASHINGTON - Pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung esok dijangka menjadi antara yang paling sengit dalam sejarah negara ini. 
Pada pilihan raya itu, Presiden AS, Barack Obama mempertahankan jawatannya buat kali kedua dengan menentang bekas gabenor Massachussetts, Mitt Romney daripada parti Republikan. 
Obama daripada parti Demokrat memenangi pilihan raya presiden AS pada tahun 2008 dengan menewaskan pencabarnya daripada parti Republikan, Senator John McCain. 
Satu tinjauan pendapat yang disiarkan Wall Street Journal/NBC News semalam menunjukkan Obama memperoleh sokongan sebanyak 48 peratus manakala Romney mendapat 47 peratus. 
Tinjauan pendapat itu dilakukan terhadap 1,475 pengundi di seluruh negara. 
Obama dan Romney yang juga seorang jutawan menggunakan hari-hari terakhir untuk berkempen di beberapa buah negeri sebelum pengundian berlangsung. 
Presiden AS itu akan berkempen di New Hampshire, Florida, Ohio dan Colorado. 
Romney pula akan berkempen di Iowa, Ohio, Pennsylvania dan Virginia. 
Presiden AS dipilih bukan melalui undi popular tetapi sebaliknya mereka perlu memenangi 270 undi pemilih untuk menduduki White House. 
Dalam satu tinjauan pendapat terbaharu ABC News/Washington Post semalam, Obama dan Romney memperoleh sokongan yang sama banyak iaitu 46 peratus. 
Golongan tua pula lebih berminat memberi sokongan kepada Romney. 
Pada hari-hari terakhir kempen, Obama meminta beliau diberikan mandat sekali lagi bagi membolehkannya menyelesaikan semua kerja-kerjanya - Agensi
_______________________________________________________________________

Politik AS memang unik. Parti Republikan merupakan parti politik untuk orang-orang kaya. Sebab itu calon presiden mereka selalunya jutawan. Manakala penyokong parti Demokrat terdiri daripada golongan rakyat biasa dan golongan menengah. Dalam pilihan raya kali ini, Obama, seorang ahli politik kulit hitam dari golongan rakyat biasa akan ditentang oleh Romney, seorang ahli politik jutawan.
Sistem pilihan raya presiden AS juga rumit. Walaupun para pemilih mengundi dalam pilihan raya ini, namun calon presiden yang mendapat 270 daripada 538 undi pemilih (Electroral College) akan diisytiharkan sebagai pemenang. Dalam sejarah AS, terdapat 17 pemenang pilihan raya presiden yang menang melalui cara ini. Bermula dengan John Quincy Adams pada tahun 1824, dan terbaru George W Bush pada tahun 2000 yang lalu.
Seperkara lagi ialah, mantan Presiden AS Bill Clinton begitu aktif berkempen untuk calon parti Demokrat dalam pilihan raya Presiden AS kali ini. Tindakan beliau itu nampaknya berbeza dengan mana-mana mantan Presiden AS yang lain. Biasanya, mantan presiden akan menjauhi aktiviti politik selepas menamatkan tempoh jawatan masing-masing. George Bush misalnya, tidak terlibat dengan kempen pilihan raya kali ini. 
Manakala dunia pula terasa aman selama empat tahun ini sejak Obama menjadi Presiden AS, berbanding keadaan yang tegang sepanjang lapan tahun George Bush menjadi presiden. Seperti Romney, Bush juga adalah dari parti Republikan. Maka sebagai warga dunia, kita mengharapkan semoga rakyat AS akan memilih calon yang dapat memelihara keamanan dunia dalam pilihan raya presiden kali ini.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.