Selasa, 6 November 2012

Penduduk Takut Buaya 6 Meter

Gambar hiasan: Sungai Kinabatangan. Kredit SaintNc TrekArt

TUARAN: Penduduk sekitar Kampung Roun, di sini, mendakwa hidup ketakutan berikutan kemunculan buaya sepanjang enam meter (m) dan lebar satu meter yang bersantai di tebing Sungai Labuaya berhampiran kampung berkenaan sejak dua hari yang lalu. 
Difahamkan, reptilia ganas itu kelihatan berjemur di tebing sungai setiap pagi sejak Khamis lalu di kawasan yang menjadi tumpuan penduduk. 
Tinjauan Harian Metro mendapati lokasi itu tidak jauh dari kampung berkenaan menyebabkan penduduk bimbang keselamatan mereka. 
Walaupun reptilia itu belum mendatangkan ancaman, penduduk tetap bimbang kerana sungai berkenaan kerap digunakan untuk menjalankan aktiviti harian. 
Penduduk dikenali sebagai Chong, 48, berkata, reptilia itu sudah dua hari kelihatan berjemur di tebing sungai berkenaan. 
Sebelum ini, buaya itu tidak kelihatan bersantai di situ tetapi mula berada di kawasan itu dua hari lalu. 
Kejadian ini menakutkan penduduk yang bimbang berlaku perkara tidak diingini.
"Kami bimbang dengan keselamatan orang ramai khususnya kanak-kanak yang sering bermain dan mandi di sungai itu," katanya.
_______________________________________________________________________

Berita ini membawa fikiran saya menerawang jauh ke zaman silam. Bagaimanalah agaknya susah payah datuk nenek moyang kita menerokai tanah air ini. Bayangkanlah, satu-satunya kemudahan yang ada untuk pergi ke sesuatu tempat pada zaman itu ialah pengangkutan air. Bayangkan juga cabaran hidup yang mereka lalui.
Selepas belayar di laut, datuk nenek moyang kita dulu masuk ke kuala sungai dan mudik ke hulu untuk membuka petempatan baru. Kemudian, mereka mendirikan rumah di tebing sungai. Air minum mereka diambil dari sungai. Hendak mandi atau membasuh pakaian, mereka guna air sungai. Sedangkan buaya banyak dalam sungai. Bayangkan pada zaman kita sekarang ini, seekor buaya sudah cukup untuk menimbulkan kerisauan.
Selain itu, timbul juga tanda tanya kepada saya, mengapa penduduk berkenaan berkata, "sungai itu kerap digunakan untuk menjalankan aktiviti harian?" Apakah mereka masih minum dan mandi menggunakan air di sungai tersebut? Mengapa mereka berkata, "kami bimbang dengan keselamatan orang ramai khususnya kanak-kanak yang sering bermain dan mandi di sungai itu."



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.