Ahad, 25 November 2012

Mursi Didesak Letak Jawatan - Pejabat Ikhwan Diserang

Foto : Penunjuk perasaan membakar pejabat parti Mursi. Foto: Reuters

KAHERAH - Dekri kontroversi yang dikeluarkan Presiden Mohamed Mursi menimbulkan masalah baru apabila pihak pembangkang mengambil kesempatan menganjurkan demonstrasi anti Mursi.  
"Rakyat hendak menjatuhkan rejim, Mursi keluarlah. Mubarak mengatakan kepada anda, penjara akan menjadi tempat anda setelah anda mendapatkan takhta," ujar seorang penunjuk perasaan pada Sabtu (24/11/2012). 
Kata-kata sama yang pernah dilaungkan semasa tunjuk perasaan hendak menjatuhkan Husni Mubarak digunakan semula sebagai slogan untuk menjatuhkan Mursi. 
Selain di Kaherah, demonstrasi juga terjadi di Iskandariah. 
Melalui dekri kontroversi itu, Mursi menyatakan bahawa semua perintah yang dikeluarkannya tidak boleh diganggu gugat atau dibatalkan oleh mana-mana pihak. Dekri tersebut berkuatkuasa sehingga ahli parlimen baru dipilih. 
Sebelum Mursi dilantik sebagai Presiden Mesir, Parlimen yang didominasi oleh Ikhwanul Muslimin sudah dibubarkan oleh pihak tentera. 
Pengisytiharan dekri berkenaan menyebabkan Mursi kehilangan pujian berikutan kejayaannya menganjurkan gencatan senjata antara Israel dan Hamas. Sebaliknya Mursi digelar sebagai 'Firaun baru'. 
Bagaimanapun rakan-rakan Mursi menjelaskan, dekri itu bertujuan untuk melindungi Revolusi Mesir. 
Mursi ketika muncul di luar Istana Presiden dan berucap kepada para penunjuk perasaan berkata, "Saya hadir untuk rakyat Mesir. Saya tidak akan bersikap berat sebelah kepada anak-anak Mesir. Pembangkang Mesir tidak perlu bimbang terhadap saya, tetapi mereka perlu realistik dan kuat. Majulah, majulah untuk Mesir yang baru," ujarnya. 
Mursi menjelaskan kepada rakyat Mesir bahawa dia terus berusaha untuk memulihkan ekonomi Mesir dan memperbaiki taraf hidup mereka, di samping menegaskan kepentingan peralihan kuasa di Mesir.
____________________________________________________________________

Kasihan Presiden Mesir ini
dia tengah tersepit pada ketika ini
dia tidak disenangi oleh puak-puak sekular
tapi dia juga diragui oleh pejuang Islam yang kurang sabar !
 
Mujurlah beliau sabar
tidak bertindak ganas terhadap para penentangnya
sebaliknya
penentangnya yang bertindak kasar terhadapnya !
 
Keberanian Presiden ini keluar dari Istana
untuk bercakap kepada para penentangnya
amatlah terpuji !
Semoga beliau akan tetap sabar dan ikhlas... 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.