Sabtu, 5 Januari 2013

Ahli Politik Gay Mungkin Jadi Senator AS

Foto: Daily Mail


WASHINGTON - Seorang pesara anggota Kongres Amerika Syarikat (AS), Barney Frank mungkin dilantik sebagai Senator Massachusetts menggantikan Senator John Kerry. Frank mungkin menjadi senator gay pertama di AS.

Seperti diketahui, Kerry akan menggantikan Hillary Clinton sebagai Setiausaha Negara AS. Oleh sebab itu Kerry akan melepaskan jawatan Senator Massachusetts.

Dalam acara di stesen televisyen MSNBC, Frank memberitahu bahawa dia meminta Gabenor Deval Patrick menamakannya sebagai senator sementara sehingga pilihan raya diadakan. 
Bagaimanapun Gabenor Patrick belum memberikan komentarnya.

Patrick merupakan orang yang merasmikan perkahwinan Frank dengan kekasihnya James Ready. Setelah berkahwin dengan kekasih sejenisnya, Frank dinobatkan sebagai anggota Kongres AS pertama yang berkahwin dengan sesama jenis.

Dalam sejarah AS, gelaran senator lesbian pertama berjaya disandang oleh Tammy Baldwin. Baldwin merupakan seorang Senator AS dari Wisconsin.

Di bawah Perlembagaan AS, seorang Gabenor harus mengisi kekosongan kerusi senat, jika senator yang sedia ada dilantik sebagai setiausaha (menteri). Selepas lima bulan John Kerry menjadi Setiausaha Negara AS, pilihan raya khas akan diadakan bagi memilih senator yang baru.

Frank pada awalnya menolak untuk dilantik sebagai Senator AS, namun isu fiscal cliff nampaknya menarik perhatian lelaki berusia 72 tahun itu. Frank sebelumnya memimpin Jawatankuasa Perkhidmatan Kewangan di Senat AS.

Selain Frank, terdapat juga nama-nama ahli politik senior yang mungkin menduduki kerusi Kerry. Mereka adalah bekas Gabenor Massachusetts Michael Dukakis dan janda bekas Senator Edward Kennedy, Victoria Kennedy.

Sementara itu bagi pilihan raya khas, bekas anggota Kongres Edward Markey dan bekas Senator Scott Brown mungkin mencalonkan nama mereka. Manakala Frank tidak akan mencalonkan diri dalam pilihan raya khas tersebut. - Daily Mail


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.