Jumaat, 18 Januari 2013

Beginikah Anak Melayu?

Nik Mohd Afendi dipenjara lapan bulan oleh Mahkmah Majistret semalam, selepas mengaku tumbuk bapanya. Foto: Sinar Harian


KUALA TERENGGANU - Seorang buruh bukan sahaja ‘naik hantu’ dengan menumbuk ayahnya, malah dia tergamak membalingkan batu ke arah mangsa selepas bengang permintaannya untuk mendapatkan sebuah motosikal tidak diendahkan. 
Bagaimanapun, perbuatan biadap Nik Mohd Afendi Nik Mustafah, 32, terbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas bapanya, Nik Mustafah Nik Mohd, 47. 
Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu di kediamannya di Kampung Banggol Mempelam, Serada, di sini, 12 Januari lalu kira-kira jam 6 petang. 
Dia berdepan penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 
Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian, Nik Mohd Afendi telah meminta mangsa memberikan sebuah motosikal kepadanya tetapi tidak diendahkan. 
Bengang dengan tindakan mangsa yang hanya mendiamkan diri itu, Nik Mohd Afendi terus memukul mangsa dan dalam pergelutan itu, mangsa mengalami cedera iaitu bengkak di bahagian pipi sebelah kanan serta cedera di dahi kanan akibat ditumbuk. 
Tidak puas dengan itu, Nik Mohd Afendi mengambil batu di hadapan rumahnya sebelum bertindak membalingkan ke arah muka mangsa serta dalam masa sama, mengambil penyodok pasir dan menghentak kereta di bahagian bumper belakang sehingga calar. 
Bagaimanapun, dia ditangkap polis pada jam 10 malam, hari sama kejadian. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.