Jumaat, 18 Januari 2013

Kemalangan Di Senawang: Bayi & Ibu Saudara Maut

Nur Baiyah mendukung mayat anak saudaranya dan Nor Shamsiah (kanan) kelihatan sugul melihat mayat adiknya. Foto: Sinar Harian

Ahli keluarga tidak dapat menahan kesedihan di lokasi kejadian. Gambar kecil: Allahyarham Nor Sham Sila Yanti. Foto: Sinar Harian


SEREMBAN – Dua maut termasuk seorang bayi apabila motosikal yang mereka naiki merempuh sebuah lori tangki di Jalan Pinggiran Senawang, Taman Pinggiran Senawang, di sini, semalam. 
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa, Nor Sham Sila Yanti Hudsaini, 24, dan anak saudaranya, Nur Harryna Balqis Abdullah, enam bulan, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. 
Jurucakap polis berkata, motosikal jenis Honda EX5 itu ditunggang adik mangsa, Nur Baiyah, 20, manakala mangsa membonceng sambil memangku anak saudaranya. 
Mereka dikatakan dalam perjalanan untuk ke sebuah klinik di Rantau. 
“Sejurus tiba di persimpangan jalan berkenaan, sebuah lori tangki yang membawa muatan minyak sawit dari simpang hadapan secara melulu membelok ke kanan jalan. 
“Tindakan lori berkenaan menyebabkan motosikal mangsa merempuh bahagian sisi kiri belakang lori. Rempuhan itu menyebabkan mangsa bersama bayi yang dipangkunya tercampak ke atas jalan dan maut serta-merta di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam. 
Menurut jurucakap polis lagi, bagaimanapun penunggang motosikal berkenaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. 
“Lori tersebut dipercayai dalam perjalanan dari Semenyih ke Melaka, namun singgah sebentar di kilang syarikat berkenaan di Taman Pinggiran Senawang untuk mengambil barang. 
“Pemandu lori, seorang lelaki berusia 44 tahun yang menghilangkan diri sejurus kemalangan bagaimanapun telah tampil di Balai Polis Senawang membuat laporan polis,” katanya. 
Dalam pada itu, saksi kejadian, Mohd Rozaini Mohd Ali, 27, berkata, dia yang dalam perjalanan ke Taman Pinggiran Senawang memberhentikan kereta di simpang jalan apabila melihat ramai orang berkerumun di tempat kejadian. 
“Saya bergegas ke tempat kejadian dan melihat terdapat mayat di tepi jalan yang ditutupi dengan surat khabar. 
“Kemudian, saya melihat seorang lelaki tua memangku bayi dan dia memberitahu saya, bayi tersebut sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Klinik 1Malaysia, di Seremban Jaya, di sini. 
Mohd Rozaini yang bekerja sebagai peniaga itu berkata, dia kemudian menyarankan agar bayi tersebut dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan pengesahan sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia. 
“Setelah sepakat dengan orang ramai dan keluarga mangsa yang berada di tempat kejadian, saya segera membawa bayi ke klinik 1Malaysia Seremban Jaya, dengan diiringi kereta anggota polis. 
“Sebaik tiba di klinik, pegawai perubatan mengesahkan bayi tersebut sudah meninggal dunia,” katanya. 
Ibu bayi berkenaan, Nor Shamsiah Hudsaini, 30-an, berkata, dia bergegas ke klinik berkenaan sebaik menerima panggilan daripada ahli keluarga yang memaklumkan anak dan dua adiknya terlibat dalam kemalangan. 
“Ketika itu saya sedang bekerja dan berkejar ke klinik. 
Tiba sahaja di klinik, saya dimaklumkan bayi saya sudah meninggal dunia,” katanya yang masih bersedih dengan kejadian yang berlaku. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner SaifulAzly Kamarudin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan. 
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk bedah siasat dan telah dituntut ahli keluarga,” katanya.
Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap punca kemalangan tersebut. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.