Ahad, 13 Januari 2013

Jual Batu Permata Sebagai Sumber Pendapatan


Mohd Rafique menunjukkan koleksi batu permata asli diikat dengan perak yang dijual pada harga berpatutan. Foto: Sinar Harian

Selain menjual batu permata, bapa sembilan anak ini juga memiliki koleksi barangan antik, antaranya sepucuk senjata lama yang dihiasi dengan batu permata. Foto: Sinar Harian

Batu unik terdapat seekor anak kala jengking di dalamnya yang menjadi koleksi berharga keluarga itu. Foto: Sinar Harian


MARANG – Sudah menjadi satu kebiasaan kalangan penggemar batu permata apabila mereka sanggup menghabiskan ribuan ringgit semata-mata bagi mendapatkan batu permata berkualiti dan asli. 
Di sebalik pelaburan itu, ia turut menjadi sumber pendapatan lumayan kepada seorang lelaki Rohingya pelarian Myanmar, yang fasih berbahasa Melayu dan kini menetap di Rhu Renggeh, di sini. 
Mohd Rafique Ali Johan, 38, yang datang ke Malaysia pada Jun 1991 mengakui, sebagai etnik pelarian, mereka merupakan golongan terpinggir di bumi asing namun, bersyukur kerana masih hidup dan dapat meneruskan survival di bumi bertuah ini. 
Bapa sembilan anak berusia antara 1 hingga 20 tahun itu berkata, malah kehidupannya kini lebih terjamin apabila memilih untuk menjalankan perniagaan itu bagi menyara kehidupannya sekeluarga sehingga mampu membuka sebuah kedai. 
Menurutnya, dia menjual pelbagai batu permata diperoleh dari luar negara, termasuk batu delima dari Myanmar serta batu nilam dari Sri Lanka yang didakwanya sebagai terbaik di pasaran dunia berbanding nilam negara lain. 
“Saya memilih menjual batu permata ini sebagai sumber pendapatan selepas mendapati ramai peminat batu permata di negara ini, malah mereka juga sanggup mengeluarkan perbelanjaan tinggi bagi mendapatkan produk berkualiti dan asli. 
“Perniagaan ini baru dimulakan, itu pun apabila saya berjaya mengumpul wang dari hasil bekerja sebagai buruh di negeri ini. Batu permata pula diperoleh dari luar negara termasuk batu delima dari negara kelahiran saya,” katanya. 
Mohd Rafique berkata, selain cantik dan asli, batu permatanya juga mudah dijual sebab dia meletakkannya pada harga berpatutan seterusnya meraih pendapatan lumayan pada musim perayaan. 
Menurutnya, menjelang Ramadan dan Aidilfitri setiap tahun, batu permata diikat dengan perak itu pasti menjadi pilihan penggemar batu permata dan ia memberi peluang kepadanya untuk mendapat modal pusingan dan keuntungan. 
“Saya bersyukur kerana dapat menjalani kehidupan berkeluarga di negara ini, malah enam anak saya juga sudah bersekolah di sini iaitu dua di sekolah kebangsaan dan empat di sekolah pondok,” katanya yang turut menjual pelbagai barangan antik. 
Ketika ditanya mengenai pendapatan bulanannya, dia mengakui peniagaan tersebut lumayan, tetapi bermusim. Namun dia pernah meraih sehingga RM7,000 sebulan malah melebihi jumlah tersebut jika batu permata asli gred terbaik dapat dijual. 
Bagi Mohd Rafique, walaupun kehidupannya di sini jauh lebih baik berbanding ketika tinggal di negara kelahirannya, namun tidak semua komuniti pelarian Rohingya Muslim dapat menikmati kehidupan mewah di negara luar jika tidak berusaha gigih. 
Menurutnya, sudah terlalu banyak kisah kesengsaraan etnik itu yang tertindas dan dinafikan hak-hak politik, sosial dan budaya pemerintah junta di negara kelahirannya dan atas sebab itu dia berharap dapat hidup aman di negara ini. 
“Isu itu tidak pernah berakhir sejak puluhan tahun. Etnik yang 90 peratus daripadanya beragama Islam itu tetap tidak diakui wujud di negara kami. Kami yang berjaya keluar dari negara ini amat bersyukur kerana diberikan perlindungan,” katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.