Rabu, 6 Februari 2013

Perogol Bersiri Dipenjara 115 Tahun

Rabidin dibawa ke mahkamah dengan kawalan ketat. Foto: Sinar Harian

Rabidin Satir ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bentong, Pahang.

RABIDIN ketika di luar Mahkamah Majistret Bentong pada Disember tahun lalu. Foto: Kosmo!


RAUB – Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara 115 tahun dan 50 sebatan terhadap seorang penganggur, Rabidin Satir, 42, selepas mengaku salah atas empat dakwaan rogol dan satu tuduhan meliwat. 
Dia dikenakan hukuman penjara 25 tahun dan 10 kali sebat bagi setiap tuduhan rogol serta tambahan 10 lagi sebatan dan 15 tahun penjara bagi tuduhan liwat. 
Semua hukuman dijalankan berasingan bermula tarikh ditangkap pada 14 November tahun lalu. 
Rabidin yang berasal dari Tambunan, Sabah dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi setiap tuduhan rogol yang boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan disebat jika sabit kesalahan manakala bagi tuduhan meliwat, dia dituduh mengikut Seksyen 377C akta yang sama dan boleh dipenjara 20 tahun serta sebat. 
Menurut kertas pertuduhan pertama, dia dituduh merogol kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun antara pukul 2 hingga 3 pagi di sebuah bilik di Taman Sri Marong, Bentong pada 9 Julai 2009. 
Bagi pertuduhan kedua, Rabidin dituduh merogol remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah bilik di Kilometer 5, Jalan Kuala Lumpur-Bentong antara pukul 1 hingga 3 pagi, 21 Jun 2010 dan bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa merogol kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di tepi sungai belakang sebuah rumah dekat Ketari, Bentong antara pukul 12.30 pagi hingga 1.30 pagi, 29 April 2011. 
Dia turut dituduh atas dua lagi tuduhan merogol dan meliwat remaja perempuan berusia 16 tahun dalam bilik di sebuah rumah di Ketari, Bentong antara pukul 1 pagi hingga 2.30 pagi. 
Tertuduh dalam rayuannya memohon kemaafan dunia dan akhirat kerana kejadian berlaku dalam keadaan dia khayal dan mabuk serta meminta hukuman diringankan. 
Timbalan Pendakwaraya, Atiqah Liyana Shahrir bagaimanapun membantah rayuan tertuduh. 
Hakim Murtazadi Amran semasa hujah penghakimannya berkata, tertuduh telah melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan terhadap mangsa-mangsa yang masih di bawah umur semasa kejadian. 
Tertuduh juga menghadapi satu tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan di Mahkamah Majistret Bentong pada Disember tahun lalu. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.