Rabu, 6 Februari 2013

Anak Muhammad Ali Nafi Bapanya Tenat

Gambar fail menunjukkan Ali (kanan) di sebuah stadium di New Orleans pada 2 Januari lalu. Foto: AP


NEW ORLEANS - Seorang anak perempuan kepada petinju legenda Muhammad Ali menafikan khabar angin tentang bapanya itu sedang nazak. 
Dia menyatakan bahawa bapanya itu berada di rumah menonton satu perlawanan bola sepak Amerika semasa khabar angin itu tersebar. 
Anak petinju legenda itu, May May Ali berkata, dia telah bercakap dengan bapanya melalui telefon pada pagi Ahad lalu dan dia berada dalam keadaan sihat. 
Katanya, dia sedang menonton perlawanan di rumahnya di Arizona dengan memakai sehelai jersi pasukan Baltimore Ravens. 
"Dia berada dalam keadaan sihat. Suaranya kedengaran baik. 
"Khabar angin seperti ini akan datang sekali-sekala tetapi ia tidak membawa apa-apa makna buat mereka," katanya menerusi telefon. 
Keluarganya kemudian telah memuat naik sekeping gambar Ali di laman Twitter. 
Gambar itu memaparkan Ali sedang duduk di atas sebuah kerusi dengan memakai sehelai baju Ray Lewis. 
Khabar angin itu tersebar selepas sebuah akhbar tabloid Britain memetik kenyataan adik Ali iaitu Rahman yang menyatakan bahawa bekas juara tinju dunia itu semakin nazak. 
Laporan kematian Ali itu juga telah tersebar secara meluas di internet. 
Terdapat ucapan takziah di laman sosial Twitter dan Facebook ekoran khabar angin itu dianggap sebagai benar. 
Ali turut mengalami masalah penyakit Parkinson. 
Dia menyambut ulang tahun kelahiran ke-71 pada bulan lalu. 
Ali merupakan juara heavyweight dunia sebanyak tiga kali. - Agensi / Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.