Sabtu, 16 Februari 2013

Polis Selangor Hancurkan Geng Samun

Sidang Media Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor. Foto: facebook polis selangor

Antara barang kes yang dirampas polis. Foto: facebook polis selangor

Toping yang digunakan oleh kumpulan penjenayah. facebook polis selangor

Kereta yang dirampas polis. Foto: facebook polis selangor


SHAH ALAM 15 Feb. - Polis Selangor percaya dapat menyelesaikan kes samun dan rogol di Lembah Klang sejak tahun lepas dengan penahanan lapan lelaki dalam beberapa siri serbuan di sekitar Kota Damansara dekat sini bermula awal minggu ini. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, tiga suspek berusia antara 23 hingga 27 tahun diberkas di sebuah pusat karaoke Kota Damansara, Isnin lepas pada 11.45 malam. 
"Hasil pemeriksaan dalam kenderaan Toyota Wish yang dinaiki suspek, polis menemui pelbagai senjata dan peralatan merompak seperti parang, pisau, pedang samurai, kayu pemukul bola lisut, topeng muka, topi dan alat membuka kunci kereta," katanya pada sidang media di sini hari ini. 
Toyota Wish itu dilaporkan hilang di Kampung Melayu Subang dekat sini pada tahun ini, katanya. 
Serbuan ke atas pusat karaoke itu dibuat ekoran satu kejadian samun melibatkan empat suspek bertopi dan bertopeng di sebuah hotel di Sungai Buloh pada 1.40 petang, 9 Feb lepas. 
Dalam kejadian itu, salah seorang suspek telah meletakkan parang di leher seorang lelaki penjaga kaunter hotel berkenaan sebelum melarikan wang tunai RM1,000 dan barangan peribadi mangsa. 
"Berdasarkan risikan, polis melakukan tangkapan pertama dan hasil soal siasat, tiga suspek lagi ditahan di depan sebuah kedai di Kota Damansara pada Selasa lalu pada 12.30 tengah malam. 
"Ketiga-tiga suspek berusia 25 hingga 27 tahun ini didapati positif dadah methamphetamine," katanya. 
Mohd. Adnan berkata, dalam serbuan seterusnya, polis menahan dua suspek berusia 31 dan 27 tahun masing-masing di sebuah rumah di Kampung Melayu Tambahan Subang dan Kota Damansara kelmarin dan semalam. 
Beliau berkata, salah seorang daripada suspek merupakan pegawai bank dan ada di antara suspek itu yang mempunyai rekod jenayah seperti samun, seksual dan dadah. 
"Kumpulan ini juga disyaki terlibat dalam satu kes samun dan rogol seorang wanita di Gombak baru-baru ini. Dalam kes itu, tiga suspek telah menarik mangsa keluar kereta dan membawa ke satu lokasi sebelum merogolnya dan melarikan wang tunai RM1,200," katanya. 
Beliau berkata, modus operandi kumpulan itu ialah melakukan jenayah dengan memakai topi serta topeng muka dan menggunakan senjata ketika mangsa berada bersendirian. 
Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.