Selasa, 5 Februari 2013

Taman Batu Sapi Di Sandakan Terbiar

Sarman melihat sampah sarap yang mencemari di Taman Warisan Batu Sapi, Sandakan semalam. Foto: Kosmo!

SEORANG penduduk menunjukkan kemudahan tandas yang terbiar dan rosak di Taman Warisan Batu Sapi, Sandakan. Foto: Kosmo


SANDAKAN - Keindahan Taman Warisan Batu Sapi yang menjadi kebanggaan penduduk daerah ini suatu ketika dahulu kini hanya tinggal kenangan. 
Terletak kira-kira 12 kilometer dari pusat bandar, taman tersebut yang terkenal dengan bongkah batu yang menyerupai sapi (lembu) terus terbiar sejak beberapa tahun lalu tanpa sebarang penyelenggaraan. 
Tinjauan Kosmo! ke taman tersebut baru-baru ini mendapati, hampir keseluruhan kawasannya berada dalam keadaan daif dengan kemudahan awam seperti tandas, jejantas dan rumah rehat telah rosak. 
Lebih menyedihkan, taman yang pernah menjadi tumpuan pelancong luar negara itu turut dijadikan tempat pemujaan berdasarkan penemuan kain-kain kuning dan makanan yang diletakkan di atas bongkah batu menyerupai seekor lembu itu. 
Seorang penduduk, Sarman Ali, 50, berkata, taman tersebut yang menjadi sebahagian daripada mercu tanda daerah tersebut sepatutnya dijaga sebaiknya kerana mempunyai nilai warisan tinggi untuk tatapan generasi akan datang. 
"Setiap kali datang ke sini, saya berasa sedih dan kecewa kerana taman ini dibiarkan begitu sahaja dengan dipenuhi semak samun dan sampah," katanya di sini semalam. 
Sarman yang juga kakitangan Jabatan Perhutanan memberitahu, dia pernah membuat kerja-kerja pembersihan dan penaiktarafan di kawasan berkenaan pada tahun 2006 bersama Lembaga Pelancongan Negeri Sabah, namun selepas itu, ia tidak dijaga dan diselenggara dengan baik. 
"Lihat sahaja sekarang, kemudahan awam semua rosak dan hanya tinggal tiang konkrit sahaja, selain jalan untuk masuk ke taman ini berlumpur dan dipenuhi semak," jelasnya. 
Seorang lagi penduduk, Abdullah Chik Utu, 48, berkata, taman tersebut pernah menjadi pusat pelancongan terkenal di Sabah. 
Katanya, orang ramai datang untuk melihat keunikan dan daya tarikan bongkah batu tersebut. 
"Disebabkan bongkahnya menyerupai lembu, pada masa ini, ada golongan tertentu menjadikannya sebagai tempat pemujaan sama ada untuk bernazar atau tolak bala," katanya. - Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.