Selasa, 5 Februari 2013

Tertuduh Samun Mati Ditembak Di Melaka

Anggota polis memeriksa kereta Honda Accord dipandu Saravanan yang mati ditembak di lampu isyarat persimpangan Industri Ayer Keroh, Melaka semalam.


MELAKA - Seorang penumpang sebuah kereta tergamam beberapa minit apabila menyaksikan rakannya yang memandu kereta Honda Accord tiba-tiba ditembak sebelum mati di tempat duduk pemandu dalam kejadian di lampu isyarat persimpangan Industri Ayer Keroh di sini semalam. 
Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi, mangsa, S. Saravanan, 39, mati akibat mengalami kecederaan parah di leher dan bahu sebelah kanan. 
Rakan Saravanan yang berusia 28 tahun dan duduk di sebelah tempat duduk pemandu tidak cedera. 
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, sebelum serangan ke atas Saravanan, dia sebelum itu baru selesai menghadiri satu perbicaraan di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Ayer Keroh berkaitan kes samun. 
Saravanan dari Butterworth, Pulau Pinang datang ke negeri ini semata-mata untuk menghadiri perbicaraan melibatkan dirinya. Jarak Kompleks Mahkamah Ayer Keroh dengan tempat Saravanan mati ditembak ialah kira-kira dua kilometer. 
Menurut beliau, siasatan mendapati mangsa ditembak oleh pembonceng sebuah motosikal Honda EX5 yang berhenti di sebelah kanan kereta mangsa semasa menunggu lampu isyarat merah di persimpangan itu. - Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.